suria

Angin Kencang , Laut Bergelora Berterusan Sehingga Sabtu

KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dijangka berterusan di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dantimur Johor sehingga Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia pada Jumaat, angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk perkhidmatan feri.

Keadaan sama turut dijangka berlaku di perairan Reef North, Layang-Layang, Palawan, Samui dan Tioman.

"Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut," menurut kenyataan itu.

Angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang melanda perairan Sabah (Kudat, Pantai Barat dan pedalaman) serta Wilayah Persekutuan Labuan juga akan berterusan sehingga Sabtu ini dengan keadaan angin kencang yang bertiup antara 40 hingga 50 km/jam serta ombak setinggi 3.5m.

Keadaan sama turut dijangka berlaku di perairan Bunguran, Reef South dan Labuan.

Sementara itu, angin kencang timur laut dan laut bergelora tahap kategori ketiga akan berterusan sehingga Rabu depan di perairan Condore dengan kelajuan angin 60 km/jam serta ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5m.

"Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak," kata Jabatan Metereologi. 

angin ribut kencang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain