suria

Banjir Kilat Di Jalan Ipoh, Lima Kereta Terperangkap

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan di ibu negara malam Khamis telah mengakibatkan Jalan Ipoh berhadapan Bank Rakyat, Sentul di sini mengalami banjir kilat dan menyebabkan lima kereta terperangkap.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata pihaknya dimaklumkan kejadian berkenaan pada 10.45 malam dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Bomba mendapati jalan tersebut mengalami banjir kilat dan paras air telah naik setinggi pembahagi jalan hingga memerangkap lima buah kereta," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Sementara itu, laman Twitter Informasi Bencana @PortalBencana dan PBanjirKL @PBanjirKL melaporkan beberapa kawasan di ibu negara dinaiki air dan mengalami banjir kilat.

Informasi Bencana @PortalBencana melaporkan Kampung Padang Balang berhampiran Sungai Gombak mengalami banjir kilat pada 12.12 pagi dan surut hampir sejam kemudian.

PBanjir KL @PBanjirKL pula melaporkan, Kampung Puah dinaiki air sedalam 0.6 meter, Jalan Tun Razak berdekatan bangunan PERKIM, Jalan Rahmat (0.3-0.6 meter) dan Jalan Sentul Manis, Jalan Rahmat dan Jalan Ipoh mengalami banjir kilat.

Air mula surut di jalan berkenaan pada 12.11 pagi.

banjir, Sentul

Artikel Lain