suria

Banjir: Sultan Nazrin Shah Titah Adakan Solat Hajat, Batal Acara Hiburan Ambang 2015

Sultan Nazrin Shah

KUALA KANGSAR: Prihatin dengan bencana banjir yang sedang melanda, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan kesemua masjid di seluruh negeri mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat.

Solat hajat itu untuk memohon ihsan Allah SWT meringankan tanggungan dan ujian agar situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sedia kala.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Sultan Perak, Khamis, baginda turut menitahkan supaya sebarang acara konsert atau yang berunsur hiburan jika ada dirancang menjelang sambutan tahun baharu hendaklah dibatalkan.

Ia termasuk acara yang melibatkan atau dianjurkan kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan negeri, titah baginda.

Sultan Nazrin Shah juga memperkenan Yayasan Sultan Azlan Shah mengurniakan dua pasang pakaian dan kasut sekolah kepada setiap pelajar daripada kalangan mangsa banjir.

Titah itu susulan keberangkatan Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim ke sesi taklimat situasi banjir negeri Perak dan lawatan baginda berdua ke pusat pemindahan banjir, Khamis.

Setakat pagi ini, sebanyak 4,335 orang daripada 1,079 keluarga yang terjejas banjir dipindahkan ke 43 pusat pemindahan banjir di tiga daerah iaitu Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Perak Tengah.

Daerah Kuala Kangsar yang meliputi kawasan Sungai Siput mencatat bilangan tertinggi mangsa banjir setakat ini iaitu 2,767 orang daripada 659 keluarga dan 23 pusat pemindahan masih dibuka.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Harimau Terlepas Di Zoo Taiping

Artikel Lain