suria

Polis Pulau Pinang Sedia Bantu Negeri Dilanda Banjir

Kemaman antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir kali ini.

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sedia dikerah untuk membantu negeri-negeri yang dilanda banjir sekiranya diminta berbuat demikian.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata, ini berikutan pertambahan mendadak bilangan mangsa banjir terutama di negeri Pantai Timur, Perlis dan Perak.

Setakat pagi ini, 90,250 penduduk di Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Perlis terpaksa berpindah akibat banjir.

"Kita sedia bantu dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

Berapa pun (jumlah anggota) terpulang mengikut keperluan," kata Thaiveegan kepada pemberita dalam Ops Bersepadu sempena Hari Krismas, di sini, Khamis.

Mengenai ops itu, beliau berkata sejumlah 73 pegawai dan 520 anggota terlibat dalam operasi lima jam berakhir pukul 3 pagi.

Katanya, rondaan dan kawalan dipertingkatkan terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti Batu Ferringhi dan Padang Kota Lama selain di sekitar pusat bandar bagi memastikan sambutan perayaan itu berjalan lancar.

Dalam pada itu, Thaiveegan berkata, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kewujudan beberapa kain rentang yang mengajak orang ramai berhimpun di hadapan rumah Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung isu kalimah Allah petang ini.

Beliau berkata kain rentang berbaur provokasi yang meminta peserta berpakaian hitam itu dikesan di beberapa tempat awam di sekitar Daerah Timur Laut sejak semalam dan telahpun diturunkan.

Katanya penganjur program itu telahpun dikenal pasti dan polis bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

"Saya nasihatkan tidak ada yang menyertainya...himpunan itu tiada permit.

Kami harap orang ramai menggunakan cara berhemah menerusi pelbagai medium mengikut undang-undang demi keharmonian bersama," katanya.



Pulau Pinang, polis, Thaiveegan, banjir

Artikel Sebelum

Artikel Lain