suria

41 Keluarga Mangsa Letupan Bom Berdaftar Dengan JKM

Anggota polis masih kelihatan menjalankan siasatan di tempat kejadian letupan bom yang mengorbankan tiga orang di Taman Ria Mesra pada Khamis. Foto: BERNAMA

GURUN:  Sebanyak 41 daripada 45 keluarga yang terlibat dalam kejadian letupan bom di sebuah rumah di Taman Ria Mesra 2 di sini petang Rabu telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata pihak JKM akan mengenal pasti empat keluarga lagi yang belum didaftarkan dalam senarai mangsa terlibat.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun berkata mang sayang terlibat akan diberi bantuan awal oleh pihak JKM sebelum bantuan susulan daripada kerjaaan negeri selepas proses siasatan di tempat kejadian selesai.

Katanya JKM turut menyediakan pusat penempatan sementara di sebuah masjid dalam taman tersebut bagi membolehkan keluarga yang tiada tempat tinggal berteduh buat sementara waktu.

"Setakat ini tiada keluarga yang tinggal di pusat penempatan sementara itu. Mereka kini tinggal di rumah jiran dan saudara mara terdekat. Saya lihat kejiranan di taman ini amat baik sebab mangsa yang rumah mereka rosak tidak menghadapi masalah untuk tinggal di rumah jiran buat sementara waktu," katanya pada sidang media selepas melawat tempat kejadian, Khamis.

Dr Leong berkata pihaknya akan meminta bantuan unit Psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk menghantar kakitangannya bagi membantu anggota keluarga mangsa yang trauma dengan kejadian tragis itu.

"Walaupun mereka tidak minta tapi kita akan hantar mereka juga untuk bantu mereka untuk memulih keadaan (trauma)," katanya.

Letupan kira-kira 4.45 petang itu menyebabkan seorang anggota tentera, Ayub Hashim, 34; anak perempuannya berusia lapan tahun Nur Idayu Syahirah Ayob serta anak jirannya Aqif Mohd Sharizal, 4, maut.
|
Sementara itu, isteri Ayob, Sharifah Azlina Hashim, 30, dan jirannya Zuraida Mat Rotebe, 30, cedera parah.

letupan di Gurun

Artikel Berikut

Artikel Lain