suria

Bantuan Sudah Disalurkan Ke Kawasan Terputus Hubungan - Mustapa

Anggota tentera membantu menurunkan bantuan ke Sekolah Kebangsaan Manek Urai yang terputus hubungan melalui jalan darat pada Khamis. -Foto: BERNAMA

KOTA BAHARU: Bekalan makanan, barangan keperluan dan ubatan telah dapat disalurkan kepada mangsa banjir di 28 lokasi yang terputus hubungan di Kuala Krai pada Khamis, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata bekalan dihantar menggunakan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan keadaan cuaca baik.

"Alhamdulillah buat pertama kali hari ini cuaca baik membolehkan bantuan dihantar melalui helikopter," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Banggol Ghucil yang menempatkan lebih 2,000 mangsa banjir, Khamis.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan itu berkata dua keutamaan yang diberi perhatian oleh pihak berkuasa iaitu operasi menyelamatkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan disalurkan kepada mangsa.

Dalam pada itu, Mustapa berkata banyak perkara baharu yang dipelajari dan boleh diperbaiki dari segi pengurusan penghantaran bekalan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir. 

Katanya pada Jumaat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual meninjau keadaan banjir dan mangsa banjir di negeri ini. -BERNAMA

banjir, kelantan, Mustapa mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain