suria

TNB Henti Operasi 1,606 Pencawang Elektrik Elak Litar Pintas

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menghentikan sementara operasi 1,606 pencawang elektrik (PE) di beberapa kawasan di Pahang, Kelantan dan Terengganu susulan kejadian banjir.   

Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata langkah itu diambil bagi mengelak berlakunya litar pintas dan ia membabitkan 70,284 pengguna.   

Kelantan mempunyai pengguna paling banyak terjejas iaitu 42,688 dengan penutupan operasi 1,150 PE di Kuala Krai, Gua Musang, Jeli, Machang, Tanah Merah, Kota Baharu dan Tumpat, katanya.   

"Di Terengganu, operasi 138 PE dihentikan di Kemaman, Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Dungun, melibatkan 8,105 pengguna manakala di Pahang, 5,878 pengguna terjejas berikutan penutupan operasi 18 PE," katanya dalam kenyataan pada Khamis.   

Beliau berkata TNB akan terus memantau pepasangan seperti pencawang elektrik di beberapa kawasan terjejas banjir dan menutup bekalan elektrik sekiranya air mencecah paras bahaya.

Mohd Aminuddin berkata bilik gerakan TNB di setiap negeri juga beroperasi untuk memantau situasi dan orang ramai boleh menghubungi talian TNB Care Line di 15454 untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, TNB hari ini menghulurkan bantuan keperluan harian untuk mangsa banjir di Bukit Besi, Telemong, Kuala Berang dan Kemasik di Terengganu atas dasar keprihatinan syarikat terhadap golongan yang ditimpa kesulitan.

Keperluan itu termasuk 320 kampit beras selain air mineral, minyak masak, gula, sardin, ayam serta daging dalam tin, susu, biskut, tuala wanita, dan lampin bayi pakai buang.

Bantuan diserahkan ke pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri berkaitan oleh Pengurus Besar TNB Terengganu, Saharenam Mukhtar.

Kesemua barang keperluan tersebut dihantar ke pusat-pusat perpindahan mangsabanjir di kawasan terbabit menggunakan kenderaan TNB.

Menurut Saharenam, pihaknya berharap bantuan kemanusiaan itu dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung mangsa banjir. 

banjir, TNB

Artikel Sebelum

Artikel Lain