suria

Mangsa Banjir Terus Meningkat

Beberapa penduduk Kampung Batu 14 mengangkat bantuan barangan keperluan yang dihantar menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selepas jalan utama ke kampung itu terputus hubungan akibat banjir yang semakin buruk di sini, hari ini. -- fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa buah negeri semakin buruk malam ini dengan jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan terus meningkat kepada 67,738 berbanding 65,419 orang petang tadi.

Di KELANTAN, keadaan banjir di sembilan jajahan terus buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 27,153 orang berbanding 26,547 orang pada sebelah petang.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, mereka yang dipindahkan malam ini terdiri daripada 8,256 keluarga yang ditempatkan di 138 buah pusat pemindahan, berbanding 7,687 buah keluarga di 125 buah pusat pemindahan petang tadi.

Gua Musang mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang dipindahkan iaitu 7,386 orang, meningkat berbanding 6,947 orang petang tadi dan kini ditempatkan di 18 buah pusat pemindahan.

Jajahan lain yang mencatatkan peningkatan mangsa banjir malam ini termasuk Tanah Merah, yang meningkat kepada 1,049 orang berbanding 905 orang petang tadi, Machang 386 orang berbanding 178 orang sebelumnya diikuti Jeli dengan 1,308 orang berbanding 707 orang petang tadi.
 
Kota Baharu turut menyaksikan peningkatan mangsa banjir apabila 464 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing berbanding 276 orang sebelum ini, selain jajahan Tumpat dengan 4,432 orang dipindahkan malam ini berbanding 4,292 orang petang tadi.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Pasir Puteh dan Kuala Krai pula kekal masing-masing 602 orang dan 4,864 orang malam ini.

Sementara itu, jajahan Pasir Mas pula mencatatkan 6,663 orang yang dipindahkan di 22 buah pusat pemindahan malam ini, susut sedikit berbanding 7,776 orang yang dipindahkan di 30 buah pusat pada sebelah petang.

Di TERENGGANU, jumlah mereka yang terpaksa bermalam di pusat pemindahan turut meningkat 436 orang kepada 22,808 orang malam ini berbanding 22,372 orang petang tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, sehingga pukul 8 malam, daerah Kemaman mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang dipindahkan iaitu 13,492 orang di 53 pusat pemindahan, meningkat berbanding 13,017 orang petang tadi.

Daerah lain yang turut terjejas termasuk Dungun dengan 5,022 mangsa di 33 pusat pemindahan, Hulu Terengganu (637 mangsa/10 pusat pemindahan), Kuala Terengganu (3,108 mangsa/14 pusat pemindahan), Besut (390 mangsa/lima pusat pemindahan), Marang (115 mangsa/dua pusat pemindahan) dan Setiu (44 mangsa/tiga pusat pemindahan).

Di PAHANG pula, jumlah mangsa banjir di lapan daerah bertambah 1,282 orang menjadi 15,944 orang daripada 4,015 keluarga malam ini berbanding 14,662 orang daripada 3,810 keluarga petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, hanya daerah Maran yang menunjukkan pengurangan ketara mangsa banjir iaitu kepada 38 orang daripada sembilan keluarga di sebuah pusat pemindahan malam ini berbanding 2,541 orang daripada 623 keluarga di 18 pusat pemindahan petang tadi.

Tujuh lagi daerah yang terjejas terus menunjukkan pertambahan mangsa banjir dengan Kuantan mencatatkan jumlah pemindahan paling ramai iaitu 10,485 orang daripada 2,808 keluarga di 38 pusat pemindahan.

Daerah Lipis pula mencatatkan 1,912 orang mangsa yang terdiri daripada 418 keluarga dan ditempatkan di 26 buah pusat pemindahan, diikuti Jerantut dengan 1,906 orang mangsa daripada 413 keluarga di 42 pusat pemindahan.

Daerah lain yang turut terjejas termasuk Pekan dengan 774 orang daripada 185 keluarga dipindahkan di 11 pusat pemindahan, Temerloh (468 orang/10 pusat pemindahan), Rompin (268 orang/empat pusat pemindahan) dan Bera (93 orang/tiga pusat pemindahan.

Berikutan keadaan banjir sejak beberapa hari lepas, 57 batang jalan utama di negeri itu ditutup kepada semua kenderaan.

Di PERAK, satu lagi kawasan iaitu Perak Tengah mula dinaiki air petang tadi, menjadikan tiga daerah di negeri itu dilanda banjir setakat malam ini termasuk Hulu Perak dan Kuala Kangsar.

Menurut jurucakap di Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Negeri Perak, sebanyak 25 mangsa di kawasan Belanja, Perak Tengah dipindahkan di dua pusat pemindahan.

Bagaimana pun jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan di negeri ini berkurangan sedikit iaitu daripada 1,650 orang petang tadi kepada 1,580 orang yang terdiri daripada 385 keluarga malam ini.

Jumlah mangsa banjir di Hulu Perak menurun kepada 352 orang malam ini berbanding 359 orang petang tadi manakala jumlah mangsa di Kuala Kangsar berkurangan kepada 1,203 daripada 1,291 orang.

Di PERLIS pula, jumlah mangsa mencatatkan peningkatan iaitu kepada 253 orang malam ini berbanding 188 orang petang tadi yang ditempatkan di lima buah pusat pemindahan, demikian menurut Bilik Operasi Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

Mereka terdiri daripada 71 keluarga dari kawasan Beseri, Padang Melangit dan Sena yang terpaksa dipindahkan sejak semalam berikutan banjir yang melanda bahagian utara negeri itu.
mangsa banjir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain