suria

Tsunami 2004: Kehilangan Anak Sarat Mengandung Masih Dirasai

Noridah (kiri) ditenangkan oleh anaknya, Elia Eriani Shahimi semasa melihat gambar semasa bencana tsunami pada 2004. Dia hadir pada program Tsunami 2004 Dalam Kenangan di Balik Pulau, Ahad. - foto LIM BENG TATT/The STar
BALIK PULAU: Noridah Mohd Nor masih berasa seram sejuk apabila dia terdengar perkataan tsunami atau sekiranya dia pergi ke pantai walaupun bencana itu berlaku 10 tahun yang lalu.

Sehari selepas sambutan Krismas pada 2004, ibu berusia 54 tahun itu kehilangan anak perempuannya yang sedang sarat mengandung enam bulan, Idawati Shahimi, 24, dalam bencana tsunami.

Noridah menceritakan pengalamannya semasa program Tsunami 2004 Dalam Kenangan di sini pada Ahad.

Acara itu diadakan di Kem Bina Negara, Biro Tatanegara dekat Pantai Pasir Panjang di sini, lokasi dimana nyawa anaknya diragut ombak besar tsunami.

Noridah berada di sana untuk menemani cucunya, Mohd Aiman Sazali, 23, yang juga berkongsi pengalaman pahit itu.

Menceritakan mengenai insiden itu, beliau memberitahu mengalami mimpi pelik dua minggu sebelum tsunami berlaku.

"Kami sedang berkelah dan terdapat api yang besar di tengah laut. Air mulai menggelegak dan ombak ganas memukul pantai.

"Saya enggan terlalu memikirkan mengenainya. Sekiranya saya tahu, saya akan melakukan apa sahaja untuk melarang anak saya daripada pergi ke pantai pada hari itu," katanya sambil menitiskan air mata.

Noridah juga merupakan kakak sulung kepada pemandu bas, Zulkifli Mohd Nor, 53, yang kehilangan empat anak perempuannya dan seorang anak lelaki di dalam insiden itu.

Mohd Aiman yang berusia tiga tahun pada ketika itu berkata, dia kehilangan ibunya dalam sekelip mata.

Dia masih lagi teringat teriakan ibu yang meminta dia supaya melarikan diri selepas ombak besar pertama menghempas pantai.

"Saya berlari sekuat hati sebelum ombak kedua mengganas. Sebaik sahaja saya menoleh ke belakang, mak saya tiada lagi disana.

"Mayatnya ditemui keesokan harinya," kata pelajar di SMK Seri Balik Pulau itu.

Ahli bomba, Mohamad Salleh Zakaria, 51, yang berpangkalan di balai bomba Seri Balik Pulau turut tidak dapat menahan sebak dihadapan kira-kira 150 orang yang hadir apabila bercerita mengenai pengalamannya dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terlibat dalam insiden itu.

"Pengalaman menyedihkan apabila saya menjumpai mayat seorang bayi masih memakai lampin di kawasan paya bakau," katanya.

Mohamad Salleh juga menjumpai mayat Idawati yang mempunyai beberapa kesan luka berhampiran kawasan dia ditelan ombak ganas itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya yang Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, beliau melawat kawasannya apabila dimaklumkan bahawa ombak ganas membadai pantai Sungai Burung.

"Saya dan seorang rakan melawat mangsa sebelum ombak besar kedua. Kami terpaksa memegang sekuat-kuatnya kepada tiang telefon awam dan berasa syukur kerana terselamat daripada ombak kedua itu," katanya.



tsunami 2004, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain