suria

Kesesakan Trafik Pulih Dalam Tempoh Kurang Setahun - MRT Corp

Amir Mahmood Razak
PETALING JAYA: Kesesakan trafik ekoran pembinaan projek laluan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dijangka akan pulih dalam tempoh kurang setahun dari sekarang.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Amir Mahmood Razak berkata kerja-kerja sivil pembinaan di 'Line 1' telah sampai ke tahap kemajuan tinggi dan menjelang pertengahan 2015, banyak kerja pembinaan akan tertumpu di bahagian atas (laluan tergantung).

"Dijangka pada pertengahan 2015 kebanyakan kerja-kerja pembinaan MRT di 'Line 1' (Sungai Buloh-Kajang) akan tertumpu di bahagian atas dan bertingkat...bermakna semakin banyak kesesakan jalan raya akan dapat dipulihkan.

"Terima kasih kepada semua warga Kuala Lumpur yang telah bersabar melalui tempoh pembinaan kira-kira dua tahun. Kita minta mereka bersabar sikit lagi...dalam tempoh enam hingga sembilan bulan lagi ini kesemua jalan-jalan ini akan kembali kembali normal," katanya kepada mStar Online, Rabu.

Beliau berkata, masalah trafik di Line 1 bagaimanapun dijangka pulih sepenuhnya pada akhir Disember 2015.

Menurut Amir Mahmood, pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan daripada orang awam berhubung masalah trafik ekoran kerja-kerja pembinaan MRT yang telah bermula sejak 2012.

Malah, beliau turut mengakui bahawa 90 peratus daripada aduan yang diterima menerusi talian 'Hotline MRT' adalah berkaitan masalah trafik.

"90 peratus yang hubungi kita mengadu masalah jalan sesak, baki 10 peratus mengadu masalah lain seperti bising, pekerja bersikap tak senonoh, pekerja kacau perempuan dan sebagainya.

"Aduan jalan sesak dan aduan lain semua ini kita siasat dan sekiranya betul ia berlaku kita akan ambil tindakan segera," katanya sambil menambah terdapat kontraktor diminta mengemukakan surat tunjuk sebab hasil aduan awam yang diterima.

Beliau berkata, kawasan pembinaan yang mengalami kesesakan paling teruk adalah di Cheras Sentral dan sekitarnya, sehingga menyebabkan kesesakan teruk melibatkan lalu lintas dari Jalan Loke Yew sehingga ke Kajang.

Mengulas lanjut isu ini, beliau berkata selepas kerja-kerja sivil selesai tidak lama lagi, jalan raya terjejas yang sempit akan dilebarkan semula mengikut ukuran normal.

Namun katanya, pada tahun hadapan masih terdapat jalan-jalan yang terpaksa ditutup pada waktu malam untuk kerja-kerja pembinaan yang mendatangkan risiko kepada orang awam.

Jelasnya, pada masa ini jalan raya yang terlibat disempitkan kepada ukuran 3 meter lebar, ukuran lebar paling minimum yang diluluskan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak berkuasa tempatan, berbanding ukuran lebar asal 4.5 meter.

"Bila ukuran lebar jalan dikurangkan, tahap kelajuan secara tak langsung dikurangkan dan ini akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

"Kita faham jalan sempit, penutupan jalan, lencongan jalan telah menyebabkan masalah trafik dan memang menyusahkan pengguna," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai perlu faham kerumitan dan kesulitan yang dihadapi timbul bagi mengelakkan mereka terdedah kepada risiko atau sebarang kemalangan.

Tambahnya, masalah kesesakan ini bersifat sementara dan orang ramai dijangka akan mendapat manfaat dan keselesaan selepas projek itu siap sepenuhnya.


MRT Corp, Amir Mahmood Razak, MRT, Line 1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain