suria

Panel RCI: Kebarangkalian Projek IC Berlaku Tak Dapat Dinafikan

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa menunjukkan dua buah buku edisi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris berkenaan hasil keputusan Royal Commission of Inquiry RCI ketika mengumumkan keputusan hasil siasatan RCI Sabah

PETALING JAYA: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah merumuskan terdapat kebarangkalian yang lebih besar bahawa projek kontroversi iaitu “Projek IC” sememangnya berlaku daripada "tidak berlaku".

Panel suruhanjaya tersebut membuat konklusi itu setelah mengambil kira kredibiliti lima saksi utama sewaktu siasatan tersebut dijalankan.

Kesemua mereka adalah kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

Mereka ialah bekas Pengarah JPN Sabah, Ramli Kamaruddin, bekas kerani JPN, Kee Dzulkifli Kee Abdul Jalil, bekas penolong pegawai pendaftaran, Asli Sidup, Ketua JPN Daerah Tamparuli, Yakop Damsah dan seorang lagi bekas pengarah JPN Sabah, Datuk Abdul Rauf Sani.

“Daripada keterangan saksi-saksi ini, adalah jelas terdapat kegiatan sulit atau rahsia melibatkan kakitangan kanan JPN Sabah dalam projek ini (IC) yang bertindak atas arahan orang politik di peringkat tertinggi.

“Perancangan sulit ini melibatkan aktiviti haram berhubung pemprosesan dan pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin dalam usaha untuk merealisasikan agenda politik tertentu,” demikian menurut laporan tersebut.

Panel RCI turut menamakan beberapa pemimpin politik ternama sebagaimana yang disebut oleh saksi-saksi berkenaan, termasuklah bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh, bekas menteri persekutuan yang juga bekas setiausaha politik kepada perdana menteri, Tan Sri Aziz Shamsuddin, dan juga bekas timbalan menteri dalam negeri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob.

“Kesemua mereka kecuali Megat Junid, yang telah meninggal dunia, telah menafikan penglibatan mereka dalam Projek IC ini,” jelas laporan itu lagi.

Bagaimanapun panel RCI berpendapat, daripada bukti-bukti yang dikemukakan oleh para saksi, adalah jelas terdapat dua sudut pandangan daripada isu ini sama ada Projek IC ini benar-benar wujud.

“Pada satu sudut, kita mempunyai saksi yang telah menceritakan secara terperinci penglibatan mereka di dalam aktiviti haram ini termasuklah penglibatan ahli-ahli politik berprofil tinggi.

“Tetapi pada satu sudut yang lain, kesemua ahli politik yang disebut nama mereka dalam kes ini telah memberi keterangan di hadapan panel RCI dan menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka terhadap kesemua tuduhan tersebut," jelas laporan itu.

Pada masa yang sama, laporan itu menyebut yang RCI turut mengambil kira bukti-bukti yang menunjukkan bahawa pada tahun-tahun 1990-an jumlah penduduk Sabah telah melonjak sehingga 78%, iaitu yang tertinggi sejak negeri itu menjadi sebahagian dari Malaysia.

Bukti ini adalah selari dengan dakwaan berlakunya Projek IC pada tahun-tahun berkenaan.

“Kesimpulannya, terdapat kebarangkalian yang projek haram tersebut memang berlaku pada waktu dan tahun di mana dakwaan ini dibuat,” kata ahli panel RCI dalam laporan mereka.

Laporan lengkap yang dicetak dalam bahasa Malaysia dan Inggeris itu akan mula dijual kepada awam mulai pagi Khamis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain