suria

Malaysia Mahu Contohi Formula Pisa Shanghai - TPM

SHANGHAI: Malaysia mahu mencontohi elemen-elemen yang diamalkan dalam sistem pendidikan Shanghai untuk melahirkan pelajar cemerlang termasuk bagi Program untuk Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu.

Timbalan perdana menteri yang juga menteri pendidikan berkata Malaysia berminat untuk menerima pakai beberapa formula kejayaan dari Shanghai yang mendapat tempat teratas dalam PISA bagi pelajarnya yang cemerlang dalam matematik,sains dan bacaan.

"Kami mahu tahu bagaimana mereka boleh berjaya. Kami akan teliti keseluruhan sistem pembelajaran dan pengajaran mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat oleh Pengarah PISA pasukan China, Zhang Minxuan di Shanghai Normal University, di sini.

Setakat ini beliau berkata kementerian itu akan menghantar pasukan pakarnya ke universiti berkenaan untuk mengkaji perkara itu.

Formula kejayaan mereka seperti satu sesi persekolahan, kurang kerja rumah dan kurang tuisyen patut diberikan pertimbangan yang wajar," katanya.

Berbanding Shanghai di tempat teratas, Malaysia berada dalam kalangan ranking terendah yang melibatkan 65 negara peserta, (walaupun penyertaan Shanghai ialah sebagai sebuah wilayah).

Wilayah itu mempunyai 28 juta penduduk berbanding 2,000 sekolah di kawasan kampung dan bandar.

PISA meneliti pencapaian seorang remaja berusia 15 tahun dalam Matametik, Sains, bacaan dan penyelesaian masalah.

Pelajar Malaysia mencatatkan skor bawah purata bagi semua empat subjek dalam penilaian yang diadakan pada 2012.

Muhyiddin berkata Malaysia akan terus menyertai PISA sementara pelan pendidikan negara akan terus dilaksanakan dengan beberapa penambahbaikan.

Bagaimanapun Muhyiddin mengingatkan bahawa Malaysia bukan hanya memberi tumpuan kepada empat subjek itu kerana pendekatan holistiknya meliputi penggalakan perpaduan negara dan pencapaian menyeluruh pelajar dalam dasar pendidikannya.

Pemimpin Malaysia itu berkata beberapa formula kejayaan Shanghai yang dikenali sebagai 'Rahsia Shanghai' termasuk menarik yang terbaik dalam pendidikan, menyediakan infrastruktur pendidikan, membantu pelajar miskin dan pelajar lemah serta pembangunan profesionalisme guru-guru telah dipraktikkan oleh Malaysia.

Beliau berharap Malaysia boleh berada dalam senarai satu pertiga teratas ranking PISA dalam dua hingga empat tahun akan datang.

"Rakyat Malaysia sukakan kejayaan segera tetapi kami sedang berusaha keras untuk mencapai sasaran kita," katanya.

Muhyiddin sedang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke China sejak Ahad meliputi Beijing, Shanghai dan Chongqing. Beliau tiba di sini lewat Selasa malam dan akan berada di Chongqing Khamis.

Shanghai, Pisa

Artikel Lain