suria

Lelaki Myanmar Diculik Ditemui Mati Ditanam

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga kedai makan warga Myanmar yang dilaporkan diculik di Pusat Bandar Utara Sentul di sini, pertengahan bulan lepas, ditemui mati ditanam di kawasan pinggir belukar berhampiran sebuah kilang pasir di Bidor, Perak, Isnin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa berkata, penemuan pada pukul 2 petang itu itu adalah susulan siasatan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang ditahan di Hospital Banting, Selangor pada 20 November lepas.

"Suspek membawa polis ke sebuah kawasan pinggir belukar berhampiran sebuah kilang pasir di Bidor...di kawasan itu polis menemui satu mayat disyaki mangsa culik yang dibunuh dan ditanam di kawasan berkenaan.

"Kerja-kerja mengeluarkan mayat sedang dijalankan polis Forensik Kuala Lumpur dengan kerjasama bahagian Patologis Hospital Ipoh, Perak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Khairi berkata, pada 12 November lepas, mangsa diculik empat penjenayah bersenjatakan dua pucuk pistol dan dua bilah parang yang menyerbu masuk ke warung kopi yang juga tempat kediaman mangsa dan keluarganya, di Pusat Bandar Utara Sentul pada 6.10 petang.

"Kejadian itu turut disaksikan isteri dan anak tunggal mangsa termasuk pelanggan yang sedang minum," katanya.

Selepas kejadian culik itu, beliau berkata isteri mangsa yang merupakan wanita tempatan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang meminta memasukkan RM2 juta ke dalam akaun bank.

Lelaki tempatan yang ditahan untuk membantu siasatan itu ditahan reman selama 12 hari bermula 21 November lepas, kata Khairi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain