suria

PAU 2014: Pemimpin Umpama Ubat Berkualiti, Bukan Tamat Tempoh - Perwakilan Kedah

Najib (dua dari kanan) bermesra dengan anggota Swinas sambil diperhatikan Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (tiga dari kiri) and timbalannya, Zahida Zarik Khan (kiri) selepas melancarkan Swinas sempena PAU ke-68 di PWTC, Jumaat.

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Umno perlu menekankan aspek kualiti umpama ubat yang mampu membawa perubahan dalam parti, bukan ubat yang sudah tamat tempohnya, kata perwakilan Kedah.

Membahaskan usul ucapan presiden, Dr Mohammad Nawar Ariffin berkata, hanya dengan memperbaiki budaya kepimpinan, parti yang tidak segagah dahulu dan dilihat 'sakit  ini dapat mengembalikan kegemilangannya.

"Mahukah kita sebagai orang sakit pergi ke hospital dan doktor bagi ubat ada kuman, gred dua ke, gred tiga atau yang dah tamat tempoh, mahu ke? Tentu tak mahu kerana kita mahu ubat yang asli, barulah ada kesannya untuk ubati penyakit.

"Begitu juga dengan Umno, tanpa kualiti, bagaimana kita hendak diterima umum. Kita tak boleh lagi bertolak ansur tentang kualiti," katanya pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Beliau yang juga Ketua Umno Cawangan Kampung Menerong berkata, selain pemimpin, kualiti juga perlu diterapkan dalam program yang dilaksanakan parti.

Beliau turut menggariskan enam faktor untuk mengenal pasti  pemimpin berkualiti, iaitu integriti, ambil perhatian terhadap sesuatu perkara secara terperinci dan menghasilan sesuatu yang bermutu.

"Keempat ialah hasil yang dapat dirasai dua hala, berkhidmat secara ikhlas dan tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap agama," katanya.

Sementara itu, perwakilan Negeri Sembilan, Datuk Dr Awaludin Said pula meminta kerajaan memperkukuhkan aspek penguatkuasaan Akta Hasutan 1948 supaya ia lebih berkesan dan dapat menjamin keharmonian dan ketenteraman negara.

"Janganlah Akta Hasutan sekadar akta sahaja tanpa penguatkuasaan. Mengekalkan akta begitu penting tetapi apa yang lebih penting adalah penguatkuasaannya.

"Tidak guna kalau kita mengekalkan akta tapi penguatkuasaan tidak dilaksanakan. Tolonglah ambil perhatian perkara ini," katanya.

Perdana Menteri dalam ucapannya pada Khamis berkata, Akta Hasutan dikekalkan dan diperkukuhkan dengan memasukkan dua perkara iaitu melindungi kesucian Islam serta agama lain dan tindakan terhadap sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Pengumuman Najib itu menimbulkan banyak reaksi daripada pelbagai pihak termasuk kritikan pihak pembangkang yang membantah pelaksanaan akta tersebut.


Artikel Sebelum

Artikel Lain