suria

Keadaan Banjir di Perak Terkawal - MKN

Rafizan Aiman Mohd Raffi,2 tahun, ditarik oleh ayahnya menggunakan bekas takungan plastik ketika tinjauan Bernama, di Kampung Lorong Mesra, Batu 7, Changkat Jong di Teluk Intan, Perak pada Jumaat.- Foto BERNAMA.
TELUK INTAN: Keadaan banjir di Perak setakat ini terkawal, kata Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana Majlis Keselamatan Negara Mohd Arif Baharom.

Beliau berkata segala persiapan menghadapi bencana alam itu berjalan lancar dengan kerjasama pasukan keselamatan daripada beberapa agensi kerajaan.
 
"Sekiranya ada perkara yang boleh kita bantu daripada kerajaan Pusat, kita akan sampaikan (bantuan).
 
"Paras air di Sungai Bidor lambat surut tetapi keadaan cuaca dan arah angin menunjukkan trend yang menurun," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di sini, hari ini.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi ketika dihubungi berkata paras air sungai di Changkat Jong menurun kepada 3.22 meter berbanding 3.54 meter pagi tadi, manakala paras air di Kampung Degong mencecah 29.6 meter.
 
Jumlah mangsa banjir di Teluk Intan menurun kepada 345 orang setakat ini berbanding 350 pagi tadi, dan seramai 15 orang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Kampung Degong 330 orang berada di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong.

Kejadian banjir itu adalah yang kedua melanda kawasan Changkat Jong dalam tempoh dua minggu selepas ban Sungai Bidor pecah akibat hujan lebat dan air melimpah ke kawasan penempatan.

Pada 14 November lepas, sebanyak 56 mangsa daripada 16 keluarga yang mendiami Lorong Mesra di sini terpaksa dipindahkan.

Artikel Lain