suria

PAU 2014: Mana Faktor 'Wow' Umno? - KJ

Khairy mempersoalkan di mana hilangnya faktor luar biasa Umno untuk meraih sokongan anak muda ketika menyampaikan ucapan dasar ketua Pemuda Umno pada persidangan sayap itu, Rabu.

KUALA LUMPUR: Umno perlu mempunyai faktor 'wow' atau luar biasa untuk menyegerakan usaha meremajakan parti bagi meraih lebih banyak sokongan anak muda, sekaligus membuktikan bahawa generasi masa depan ini wajar diberi pengiktirafan untuk memimpin di peringkat parti dan kerajaan.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun parti tidak kekurangan sokongan anak muda tetapi situasi di mana masih ada golongan muda menyokong parti lawan perlu diberi perhatian kerana pada usia setahun jagung, sudah ada yang menjadi calon dan mengisi kerusi Dewan Rakyat.

"Kalau belah lawan begitu rentaknya, mana 'wow factor' kita? Tak cukupkah cerdik pandai, pendebat ulung di kalangan orang muda untuk diangkat?

"Kami mahu suara orang muda disegenap ceruk pimpinan negara. Pemuda di Dewan Rakyat, Pemuda di Dewan Undangan Negeri, Pemuda dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan), Pemuda jadi timbalan menteri dan lebih ramai Pemuda jadi menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena ketua pemuda Umno pada sidang sayap parti itu sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jika diimbas dahulu Umno sebenarnya parti orang muda apabila barisan pimpinannya sarat dengan tenaga muda di peringkat tertinggi.

Beliau menyebut nama-nama pemimpin seperti Tan Sri Shahrir Samad, Tan Sri Isa Samad, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Tun Musa Hitam, Tan Sri Annuar Musa, Tengku Razaleigh Hamzah termasuk bekas Presiden Umno, Allahyarham Tun Razak yang diangkat memegang jawatan menteri besar dan menteri kabinet pada usia muda.

"Sayang sekarang kita membelakangi masa. Hanya saya seorang... Ketua Pemuda Umno Malaysia sahaja... satu-satunya menteri kabinet di bawah usia 40 tahun.

"Saya tak mahu begitu, tak boleh saya seorang sahaja yang lepas, itu pun baru lepas. Saya mahu ramai lagi orang muda sebaya kita ada bersama saya. Barulah ada transformasi," katanya.

Khairy berkata, anak muda bukan tamak mengejar pangkat dan kedudukan, namun langkah menyegerakan gandingan orang berpengalaman dengan anak muda dapat menetukan kegemilangan bangsa.


Artikel Lain