suria

Adun BN Selangor Tolak RM200,000

Shamsudin ketika membahaskan Bajet 2015 Selangor yang dibentangkan Azmin, Selasa.

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) di Selangor menolak sejumlah RM200,000 peruntukan menerusi Bajet 2015 yang dibentangkan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias berkata, semua 12 Adun berkenaan menganggap peruntukan itu suatu penghinaan kepada mereka.

"Ia satu penghinaan kepada kami kerana penyelaran Pakatan Rakyat yang dilantik di kawasan pembangkang akan menerima RM500,000 setiap seorang.

"Tentunya tidak adil kerana kami yang dipilih rakyat dan mendapat mandat menerima peruntukan lebih rendah berbanding penyelaras berkenaan," katanya pada sidang media, pada Selasa.

Beliau berkata, jika kerajaan negeri berkenaan ikhlas, sudah tentu jumlah yang diperuntukan untuk kedua-dua pihak terlibat adalah sama.

Selain itu, Adun Pakatan Rakyat pula akan menerima RM700,000 untuk membantu mereka memberi khidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Terdahulu, ketika membahaskan Bajet 2015 Selangor, Shamsudin meminta Azmin supaya mengetepikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri itu.

'Kita tidak perlukan jawatan itu, malah ia bertindih dan tentu sekali membazirkan dana awam," katanya.

Shamsudin juga menyentuh mengenai krisis menteri besar sebelum ini yang memberi kesan kepada negeri itu dalam pelbagai aspek.

"Saya harap Selangor tidak menjurus kepada landasan politik dan peribadi bagi mencapai hasrat menawan Putrajaya," katanya.

Pada Isnin, Azmin mengumumkan pemberian RM200,000 itu adalah yang pertama dalam sejarah kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sejak mula mentadbir kerajaan negeri pada 2008.

Artikel Lain