suria

Pengasingan Sisa Di Punca Secara Mandatori Berperingkat Mulai September 2015

Abdul Rahman Dahlan.
SERDANG: Kerajaan akan melaksanakan pengasingan sisa di punca secara mandatori berperingkat mulai September tahun depan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) telah merangka peraturan dan garis panduan untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kaedah pelaksanaannya agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya pelaksanaan peraturan baharu ini digubal mengikut klausa perundangan dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

"Secara umumnya, proses pengasingan sisa di punca membabitkan pengasingan sisa pepejal isi rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas, kadbod, kaca, logam, sisa makanan, sisa pukal dan sisa kebun.

"Kutipan sisa yang diasingkan akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan oleh syarikat konsesi yang dilantik. Ini akan dilaksanakan berdasarkan konsep kutipan 2+1," katanya pada majlis sambutan Hari Kitar Semula 2014 tema 'Kitar Semula Tanggungjawab Semua", di Taman Tasik Seri Serdang, di sini Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Arpah Abdul Razak.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Datuk Ab Rahim Md Noor dan Ketua Pengarah Sisa Pepejal Negara Mohd Rosli Abdullah.

Abdul Rahman berkata pelaksanaan kutipan 2+1 telah dijalankan sepenuhnya di negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672 iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah bermula September tahun ini.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan fasiliti pengurusan sisa pepejal ditambah baik dan pengoperasian pusat-pusat 3R (mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula) peringkat komuniti digerakkan.

"Kejayaan program ini juga bergantung kepada kesediaan rakyat dan kefahaman rakyat terhadap kepentingan Program Pengasingan Sisa di Punca," katanya sambil menambah bahawa JPSPN akan melaksanakan kempen hebahan, kempen kesedaran dan program pendidikan di segenap lapisan masyarakat bagi memaksimumkan kejayaan program dan meminimumkan keresahan rakyat.

Statistik terkini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 33,000 tan sisa pepejal setahun dan daripada jumlah itu hanya 10.5 peratus sahaja dikitar semula untuk menjadi produk lain yang mempunyai nilai tambah.

Abdul Rahman berkata pelaksanaan peraturan baharu ini adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa yang ketika ini semakin meruncing.

"Peningkatan jumlah sisa secara mendadak menyebabkan tapak pelupusan sedia ada semakin kehabisan ruang dan persaingan guna tanah bagi membina tapak pelupusan baharu memerlukan kita memberi perhatian serius terhadap pengasingan sisa di punca ini," katanya.

Abdul Rahman yakin Malaysia akan berjaya mencapai sasaran pencapaian kadar kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020.

Beliau berkata aktiviti 3R dan pengasingan sisa di punca dikenal pasti sebagai satu daripada langkah paling berkesan bagi mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

"Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah status negara maju menjelang 2020, Malaysia harus meningkatkan aktiviti 3R dan kadar kitar semula di peringkat kebangsaan.

"Dengan pelaksanaan hebahan kempen kesedaran dan pendidikan awam, saya yakin Malaysia akan berjaya mencapai sasaran kadar kitar semula sebanyak 22 peratus. Dengan komitmen yang ditunjukkan rakyat Malaysia, pencapaian kita mungkin akan lebih baik lagi," katanya.

Beliau berkata kementerian akan memastikan kadar kitar semula meningkat dua peratus setiap tahun, sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kementerian.






Artikel Lain