suria

Akta Hasutan 1948 Perlu Ditambah Baik Jamin Perpaduan Nasional - MPM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada Sabtu menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948 dan ditambah baik kerana undang-undang itu perlu bagi sebuah negara majmuk.

Pengerusi Biro Perlembagaan MPM Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata akta itu memang relevan bagi menjaga keselamatan negara ini yang berlatarbelakangkan kehidupan berbilang kaum, agama dan adat resam masyarakat.

Katanya, akta itu juga perlu diperkukuhkan bagi menjamin keharmonian, perpaduan dan ketenteraman nasional.

Beliau berkata, ketiadaan Akta Hasutan seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak akan mengakibatkan golongan tertentu mencerca perkara-perkara sensitif membabitkan keamanan negara.

"Isu-isu seperti isu mengasingkan Sabah dan Sarawak daripada Semenanjung Malaysia atau mencerca dan mencela agama sudah pasti akan pecah-belah sebuah negara yang aman dan harmoni," katanya dalam sidang media mengenai Akta Hasutan di sini Sabtu.

Abdul Aziz berkata Akta Hasutan mempunyai ruang untuk ditambah baik atau diperkukuhkan jika perlu untuk disesuaikan mengikut peredaran zaman berdasarkan perkara-perkara sensitif.

Kerajaan sebelum ini bercadang untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikan ia dengan akta baharu yang dikenali Akta Keharmonian Nasional. 

Tambah Abdul Aziz, Akta Hasutan tidak boleh dimansuhkan kerana keamanan dan kestabilan dalam negara boleh tergugat serta beberapa perkara sensitif melibatkan institusi Diraja, hak dan keistimewaan Bumiputera serta kebebasan bersuara boleh tercabar.

Mengimbas kembali sejarah kewujudan Akta Hasutan 1948, beliau berkata selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, Parlimen telah meluluskan akta itu dan pindaan telah dilaksanakan dengan empat perkara sensitif seperti dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh disentuh oleh mana-mana pihak.

Empat perkara itu ialah kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), Kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 181), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152) dan Hak-Hak Kewarganegaraan (Bahagian III), katanya.

"Persoalan isu-isu sensitif dianggap sebagai satu daripada punca rusuhan 13 Mei, 1969. Dengan itu diputuskan dilarang untuk mempersoalkan empat isu sensitif itu," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain