suria

Uthayakumar Dapat Kebenaran Mulakan Prosiding Hina Mahkamah

Uthayakumar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memberi kebenaran kepada peguam P Uthayakumar untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Pengarah Penjara Kajang kerana gagal mematuhi perintah mahkamah untuk mengasingkannya daripada banduan tegar.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menetapkan 13 Januari depan bagi Abdul Wahab Abdul Kassim (pengarah) hadir di hadapan beliau dan menjelaskan kenapa dia tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Bagaimanapun, beliau menolak permohonan serupa terhadap dua lagi inspektor penjara, menghadapi tindakan sama.

Mohd Azman mengesahkan perintah yang dikeluarkannya pada 9 September tahun lepas, antara lain, memerintahkan Uthayakumar ditempatkan bersama-sama tahanan politik lain dan bukannya banduan tegar.

Ini berikutan aduan Uthayakumar dia dipaksa berkongsi sel bersama-sama lima lagi banduan yang disabitkan atas kes rompakan dan merogol.

Mohd Azman juga memerintahkan Uthayakumar dirujuk kepada pakar Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk merawat 'collapsed disc' beliau.

Pada 2007, Uthayakumar, 52, pengasas pergerakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didakwa menerbitkan satu surat berbaur hasutan di laman web 'Police Watch'.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, pada 15 November 2007.

Peguam itu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 5 Jun 2013.

Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman itu tetapi Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh penjara daripada 30 kepada 24 bulan. Beliau selesai menjalani tempoh tahanannya pada 3 Oktober lepas.

Uthayakumar diwakili peguam M Manoharan dan M Manogaran, manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.


Artikel Lain