suria

Sesi Bersama Media Bagi Laporan Ketua Audit Negara Diteruskan - KSN

Ali Hamsa (kiri) berbincang sesuatu bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kanan) di Majlis Bersama Media Laporan Ketua Audit Negara 2013 di Auditorium Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Rabu.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sesi bersama media yang menjadi platform bagi pengamal media mengajukan pelbagai soalan mengenai isu-isu yang ditimbulkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dengan pihak pengurusan tertinggi kementerian-kementerian akan diteruskan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam ucapannya semasa merasmikan sesi tersebut yang diadakan di Angkasapuri di sini Rabu berkata usaha itu merupakan komitmen kerajaan dalam meningkatkan integriti perkhidmatan awam, dengan mentransformasikan kaedah pengurusan tindakan susulan ke atas Laporan Audit Negara.

Beliau menggesa ketua-ketua setiausaha kementerian supaya mengambil tindakan wajar untuk menegakkan integriti kementerian dan agensi masing-masing. 

"Kalau boleh, saya berharap tidak ada lagi teguran yang dibuat dalam Laporan Audit yang akan datang. Kita perlu berusaha untuk mengurangkannya," kata beliau.

Ini merupakan kali kedua sesi tersebut diadakan. Sesi pertama diadakan Jun lepas selepas Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 dibentangkan di Dewan Rakyat.

Sesi tersebut dihadiri ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan pegawai atasan agensi kerajaan. 

Ia memberi peluang kepada pengamal media yang mempunyai sebarang soalan berkenaan isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk mengajukan soalan terus kepada pihak berkenaan.
laporan audit, KSN, Dr Ali Hamsa

Artikel Lain