suria

Isu Sekolah Vernakular, Akta Hasutan Antara 755 Usul Perbahasan PAU

Hishammuddin (tiga kiri) selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa MKT di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, Selasa.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 755 usul yang diterima daripada 191 Bahagian Umno di seluruh negara untuk dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) akan disemak untuk tindakan dan jawapan segera oleh setiap kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkaitan.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, berikutan itu sebuah pasukan khas telah ditubuhkan oleh Jawatankuasa Penyediaan Usul Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi memantau, membuat susulan dan melaporkan semula perkembangan yang dicapai kepada Bahagian Umno yang mengemukakan usul tersebut.

Malah, katanya pasukan khas itu yang diterajui oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirleen akan memaklumkan kepada MKT untuk tindakan susulan.

"Beliau (Rosnah) juga akan menjalin kerjasama rapat dengan menteri-menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian (KSU) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat untuk tindakan susulan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa MKT di Menara Dato Onn di sini, Selasa.

Hishammuddin memberitahu, daripada 755 usul itu, sebanyak 638 melibatkan usul untuk rujukan manakala 117 usul tanpa bahas.

Bagaimanapun, katanya tiada usul yang ditolak pada kali ini.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) akan berlangsung pada 25 hingga 29 November ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Daripada 638 Usul untuk Rujukan, sebanyak 81 usul melibatkan pindaan perlembagaan, 87 usul politik, 67 usul ekonomi, 74 usul agama, 170 usul sosial, 121 usul pendidikan dan 38 usul lain-lain," jelasnya.

Beliau berkata, antara topik yang dijangka hangat dibahaskan adalah usul melibatkan pendidikan iaitu Sekolah Satu Aliran lawan Sekolah Vernakular dan Akta Hasutan serta Akta Harmoni.

"Selain itu, turut dibahaskan ialah usul pindaan perlembagaan - penambahbaikan, isu kawalan dan penguatkuasaan terhadap media sosial, pemilihan parti -SOP dan tata etika, kos sara hidup serta kualiti kehidupan," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, beliau turut menerima senarai jurucakap daripada setiap negeri bagi membuat persiapan rapi.

"Dengan tindakan proaktif ini, jurucakap yang dipilih berkesempatan dilibatkan sama ada di peringkat awal penggubalan usul. Mereka secara tidak langsung dapat menghayati dan memahami usul yang ingin dibahaskan," katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, seorang jurucakap daripada Kelab Umno Luar Negara dan seorang wakil institut pengajian tinggi tempatan juga akan diberi peluang untuk berbahas kelak.

Katanya, satu Persidangan Meja Bulat juga akan diadakan pada Rabu sebagai platform bagi membincang dan mengupas secara terperinci usul-usul yang telah dikemukakan oleh semua bahagian-bahagian Umno seluruh negara.

"Hasil perbincangan dan input yang diputuskan daripada persidangan itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Penyediaan Usul," katanya.

Perhimpunan Agung Umno, PAU, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain