suria

Sub-Lesen Umrah: Kerajaan Dapatkan Maklum Balas Agensi Pelancongan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mendapatkan maklum balas agensi pelancongan sebelum Majlis Kawal Selia Umrah mengeluarkan sub-lesen kepada syarikat yang ingin menawarkan pakej umrah.


Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, konsultasi itu penting agar semua agensi pelancongan memahami hasrat kerajaan untuk menangani isu penipuan pakej umrah dan membuat persediaan untuk mematuhi syarat baharu yang akan dikuatkuasakan.

"Cadangan pengeluaran sub-lesen umrah adalah satu daripada langkah untuk menangani isu penipuan pakej umrah yang secara prinsipnya telah dipersetujui oleh Majlis ini (Kawal Selia Umrah).

"Sebelum dilaksanakan, kementerian terlebih dahulu perlu mendapatkan maklum balas daripada agensi pelancongan yang terlibat dalam pengendalian pakej umrah dan agensi pelancongan lain yang berhasrat untuk menceburi bidang ini mengenai syarat-syarat pengeluaran sub-lesen tersebut," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (BN-Masjid Tanah) yang bertanya bila Majlis Kawal Selia Umrah akan mengeluarkan sub-lesen umrah kepada syarikat-syarikat terlibat supaya rakyat tidak ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Majlis Kawal Selia Umrah yang ditubuhkan Ogos lalu bagi mengekang kes penipuan umrah yang semakin kritikal, menetapkan peraturan baharu iaitu syarikat yang ingin mengendalikan pakej umrah perlu memiliki lesen 'outbound' (pengembaraan luar negara) dan lesen khas umrah (sub-lesen di bawah lesen 'outbound').

Mohamed Nazri berkata, pada masa ini, 59 syarikat pelancongan dibenar mengendalikan pakej umrah setelah memenuhi beberapa syarat, termasuk meletakkan deposit RM200,000 dengan kerajaan Arab Saudi dan RM60,000 dengan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Syarikat itu juga boleh bekerjasama dengan mana-mana syarikat lain untuk mengendalikan pakej umrah, namun harus bertanggungjawab jika syarikat yang dinaungi melakukan sebarang kesalahan atau penipuan, katanya.

"Kalau terjadi apa-apa kes, kita takkan cari syarikat kecil, tetapi kita akan cari 59 syarikat yang telah diberi lesen itu," jelasnya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa harga minimum pakej umrah ditetapkan pada kadar RM4,900 dan mereka perlu berwaspada terhadap syarikat yang menawarkan harga lebih murah.

Artikel Berikut

Artikel Lain