suria

Polis Tahan Empat Lelaki, Rampas Dadah RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan lima cubaan sindiket antarabangsa dan tempatan untuk menyeludup dadah ke negara ini, selain merampas 9.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM1 juta, dalam tempoh empat hari lepas.
  

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, sepanjang tempoh itu, empat lelaki dengan tiga daripadanya warga asing dan seorang warga tempatan berusia 27 hingga 34 tahun turut ditahan di pelbagai lokasi.

Ini termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Bandar Sunway dan Petaling Jaya, kata beliau.

"Selain itu, Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) kita juga berjaya membongkar taktik-taktik baharu yang digunakan sindiket antarabangsa untuk menyeludup masuk dadah.

"Ia antaranya menggunakan perkhidmatan syarikat khidmat kargo udara yang tidak begitu dikenali di Malaysia oleh warga asing khususnya Nigeria untuk membawa sejumlah dadah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Noor Rashid berkata, cubaan pertama berjaya dipatahkan di sebuah kondominium di Pulau Pinang apabila seorang lelaki warga Nigeria ditahan bersama 2.6 kg dadah syabu yang disorok dalam sebuah kotak berisi patung tembikar pada pukul 3.10 petang, 31 Oktober lepas.

Dua jam kemudian, di Petaling Jaya hari yang sama, polis menumpaskan percubaan menyeludup dadah menggunakan syarikat perkhidmatan kargo tempatan selain merampas dadah jenis Syabu seberat 2.6 kg yang disimpan dalam 42 bahagian kaki meja komputer tetapi tiada tangkapan dibuat.

"Terdapat tujuh unit meja komputer yang dirampas dan setiap satunya memiliki enam bahagian besi batang kaki meja komputer," katanya.

Pada kira-kira pukul 7.30 malam, hari yang sama, seorang lelaki warga Republik Guinea ditahan di Petaling Jaya dengan sejumlah 0.5 kg Syabu yang dijumpai dalam span tempat duduk basikal yang telah diubahsuai.

Noor Rashid berkata, dalam tangkapan seterusnya, polis menahan seorang lelaki warga India di KLIA dan menemui sebanyak 1.7 kg dadah syabu yang disembunyikan dalam ruangan bagasi yang telah diubahsuai pada pukul 8 pagi, Sabtu lepas.

"Semalam kira-kira 2 petang di Bandar Sunway pula, kami menahan seorang lelaki tempatan dan merampas dua kilogram syabu yang diletakkan dalam tempat duduk basikal yang diubahsuai, dipercayai diseludup masuk dari negara China.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau menegaskan pihaknya akan terus memperhebatkan tindakan untuk membanteras aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket tempatan mahupun antarabangsa pada masa depan.

syabu, KLIA, STING

Artikel Lain