suria

Lebih Setahun Pembangkang Gagal Lantik Ketua Di Melaka

MELAKA: Lebih setahun berlalu sejak anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Goh Leong San daripada DAP meletak jawatan sebagai ketua pembangkang DUN Melaka, namun sehingga kini pakatan pembangkang masih gagal melantik ketua dalam kalangan mereka.


Menjelang persidangan DUN Melaka selama empat hari bermula Isnin ini, Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad masih belum menerima surat pelantikan ketua pembangkang baharu setelah Goh meletak jawatan pada 8 Oktober tahun lepas.

Othman berkata, pihaknya telah mengutus surat kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng selepas peletakan jawatan Goh, bagi parti itu melantik ketua pembangkang yang baharu, bagaimanapun tiada jawapan sehingga sekarang.

"Sukar untuk menyelaras urusan berkenaan dengan persidangan DUN sekiranya tiada ketua pembangkang, malah perjalanan dewan (DUN) tidak begitu lancar antaranya kerana tiada penyelarasan berapa ramai anggota pembangkang mahu berbahas.

"Persidangan DUN minggu depan bakal membahaskan isu penting antaranya Bajet Negeri Melaka untuk tahun 2015. Kami mahu pastikan persidangan ini berjalan lancar demi memenuhi tanggungjawab kepada rakyat," katanya kepada Bernama di sini.

Melaka mempunyai 28 anggota DUN. Tujuh daripadanya merupakan pembangkang iaitu Goh, Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh), Lai Keun Ban (DAP-Kota Laksamana), Lim Jak Wong (DAP-Bachang), Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir), Chin Choong Seong (DAP-Kesidang) dan Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru).

Media melaporkan sebelum ini, Goh meletak jawatan sebagai ketua pembangkang tahun lepas disebabkan pertelagahan beliau dengan pimpinan DAP pusat terutama Lim dan anggota DUN yang menyokong pimpinan DAP pusat iaitu Lai dan Khoo.

Pengerusi Barisan Nasional Backbenchers Club Melaka, Datuk Ghazale Muhamad berkata, kegagalan pembangkang melantik ketua dalam kalangan mereka selama lebih setahun merupakan bukti jelas bahawa tiada kesepakatan antara mereka.

"Bukan sehari atau sebulan tetapi lebih setahun mereka gagal berbincang untuk melantik seorang ketua bagi mengetuai mereka menguruskan hal ehwal berkait negeri dan rakyat.

"(Bagaimanapun) bagi saya sendiri, kerja membela nasib rakyat tidak terjejas jika pembangkang tiada ketua, tiada kesan apa pun, kerana kerja membela nasib rakyat di pihak kami memang sentiasa berjalan," kata anggota DUN Rim itu.

Ghazale berkata, pembangkang yang tidak akan dapat melaksanakan fungsinya sebagai kumpulan pembangkang berkesan dalam persidangan DUN sekiranya masih gagal melantik seorang ketua seperti peribahasa Melayu 'bagaikan anak ayam kehilangan ibu'.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, kegagalan pembangkang melantik ketua juga memperlihatkan bagaimana DAP Melaka masih berpecah kepada dua kumpulan iaitu menyokong Lim dan menyokong bekas Pengerusi DAP Melaka Sim Tong Him yang juga anggota Parlimen Kota Melaka.

Beliau berkata DAP akan menjadi parti yang tidak relevan bagi membela nasib rakyat Melaka sekiranya sengketa itu berterusan.

"Kepada rakyat Melaka, lihat dan nilailah sendiri perkara ini, jangan buat kesalahan yang sama memilih mereka yang suka bersengketa sehingga bertahun lamanya sebagai wakil rakyat. Pilihlah mereka yang boleh buat kerja membela rakyat," katanya.

Media sebelum ini turut melaporkan keretakan hubungan antara Lim dan Sim apabila timbul perselisihan faham dalam memilih calon parti itu untuk kerusi DUN Kota Laksamana pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pimpinan DAP pusat cenderung memilih Lai Keun Ban, calon yang dilihat penyokong setia Lim, hingga menimbulkan rasa kurang senang Sim dan penyokongnya Goh, yang membawa kepada peletakan jawatan Goh sebagai ketua pembangkang tahun lepas.


ketua pembangkang, Melaka, DUN Duyong

Artikel Lain