suria

Kes Denggi Dijangka Meningkat Akhir Tahun Ini - Subramaniam

Dr Subramaniam
KUALA LUMPUR: Kes denggi akan meningkat akhir tahun ini kerana faktor cuaca dan perubahan serotip virus, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam Selasa.

Beliau berkata Malaysia diramal menghadapi musim monsun tidak lama lagi dan diikuti dengan perubahan serotip virus denggi.

"Virus denggi mempunyai serotip satu, dua, tiga dan empat. Menjelang awal tahun ini dan akhir tahun lepas, terdapat pradominan serotip Den (Denggi) 2. Tetapi, dalam beberapa bulan lepas, kami dapati terdapat peningkatan dalam kes Den 1.

"Sekiranya banyak penduduk di negeri yang terjejas, belum pernah terdedah kepada Den 1 dan mereka tidak mempunyai pelalian terhadap virus itu, maka golongan ini mudah mendapat denggi daripada Den 1," katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa peringkat kebangsaan mengenai denggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen Selasa.

Katanya kementerian berkenaan percaya pihaknya dapat mengurangkan jumlah kes denggi sekiranya semua pihak yang terlibat dalam pasukan petugas dan jawatankuasa itu dapat mengurangkan saiz atau ketumpatan pembiakan nyamuk aedes.

Beliau berkata kebelakangan ini, kes denggi menurun daripada 3,000 kepada 2,000 seminggu di kebanyakan tempat, terutama di Kelantan, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

"Kadar penurunan ini masih belum memuaskan. Oleh itu, usaha memerangi denggi perlu diteruskan.

"Oleh kerana kita tinggal dalam persekitaran yang sentiasa terdapat nyamuk aedes, maka kami ingin memberi penekanan terhadap kebersihan alam sekitar untuk mencapai tahap kejayaan lebih tinggi dalam memerangi ancaman ini.

"Semoga, ia akan memberi kesan langsung dalam mengurangkan jumlah kes. Sasaran kami ialah 1,500 kes seminggu iatu lebih hampir dengan sasaran garis dasar kami pada 2013," katanya.

Mengenai mesyuarat pada Isnin, Dr Subramaniam berkata semua pihak terlibat bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa peringkat negeri mengenai banjir yang akan dipengerusikan menteri besar/ketua menteri atau anggota exco negeri untuk menjadikan kawalan denggi lebih berkesan.

Dalam kenyataan kepada media, kementerian itu berkata 84,682 kes denggi dilaporkan dari 1 Jan hingga 25 Okt tahun ini, berbanding 28,207 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Jumlah kematian akibat denggi yang direkod di seluruh negara dari 1 jan hingga 25 Okt ialah 160, meningkat 167 peratus daripada 60 kematian yang dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.
kes denggi, Dr Subramaniam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain