suria

Kes Liwat II: Penyokong Degil, Berhimpun Tanpa Permit

PUTRAJAYA: Prosiding rayuan terakhir kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah sunyi daripada kehadiran penyokong sama ada di pihak ketua pembangkang itu atau bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Walaupun kedatangan penyokong berubah-ubah bilangannya, tetapi setiap hari akan ada kumpulan mereka yang bertindak mempertahankan pihak tertentu, sama ada Anwar atau Saiful Bukhari.

Pada hari keenam berlangsungnya prosiding itu, kelihatan penyokong Anwar masih berdegil untuk terus menganjurkan perhimpunan tanpa permit di pekarangan Kompleks Istana Kehakiman di sini, Selasa.

Berkumpul dalam jumlah yang besar dengan kebanyakkannya memakai pakaian berwarna hitam, kumpulan itu dilihat setia menunggu prosiding kes liwat Anwar yang masuk hari keenam.

Turut kelihatan sekumpulan penyokong Ahli Parlimen Pematang Pauh itu berhimpun sambil membacakan surah Yasin menggunakan sistem pembesar suara.

Di satu sudut lain, terdapat sekumpulan penyokong yang memegang beberapa sepanduk bertulis 'Rakyat Hakim Negara' melaungkan "reformasi" dan "bebaskan Anwar".

Perhimpunan aman itu dianjurkan bertujuan memberi sokongan terhadap Anwar yang merayu ‎atas hukuman penjara lima tahun terhadap kesalahan meliwat Saiful Bukhari, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, pada pagi Selasa ini tidak kelihatan pula kelibat kumpulan yang tidak pernah henti mempertahankan keadilan bagi pihak Saiful Bukhari dengan membawa pelbagai sepanduk dan kain rentang tanda sokongan mereka.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid menjelaskan, pihak penganjur  tidak pernah memohon permit bagi mengadakan perhimpunan daripada pihak polis sebelum ini.‎


Artikel Sebelum

Artikel Lain