suria

Gambar Peribadi Tunku Abdul Rahman Koleksi Terbaharu Arkib Negara

Demonstrasi membaik pulih bahan-bahan turut ditunjukan pada Majlis Promosi Bahan Arkib Terpilih di sini, pada Selasa. Majlis promosi ini bertujuan untuk menyebar luas maklumat tentang kepentingan bahan-bahan bernilai kepada masyarakat umum supaya membangkitkan kesedaran untuk terus menymbang kepada Arkib Negara.
KUALA LUMPUR: Koleksi gambar peribadi Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama anggota keluarga dan pekerjanya antara koleksi terbaharu Arkib Negara yang boleh diakses untuk tujuan penyelidikan.


Ketua Pengarahnya, Azemi Abdul Aziz berkata, koleksi itu yang bertemakan 'Sebalik Tabir Kehidupan Di Residensi' merangkumi 339 keping gambar hitam putih yang dirakamkan sekitar kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn di sini, antara tahun 1959 hingga 1970.

"Gambar ini banyak dirakam secara 'candid shot' oleh anggota keluarganya, Syed Abdullah Barakhbah Syed Omar, yang mempunyai hobi mengambil gambar dan pernah dihantar Tunku untuk belajar fotografi di London," katanya.

Bercakap pada sidang media Majlis Promosi Bahan Arkib Terpilih di sini hari ini, Azemi berkata koleksi gambar itu diperoleh daripada simpanan peribadi penerbit filem Mansor Puteh.

Antara yang menarik ialah gambar kenangan pembantu peribadi Tunku Abdul Rahman bernama Ah Seong, Kalimutu (pemandu) dan tiga pembantu rumah iaitu Kantan, Osman dan Ismail bersama Syed Omar (bapa Syed Abdullah) dan saudaranya Syed Abu Bakar di hadapan residensi.

Turut dijadikan koleksi ialah gambar anak-anak pekerja di hadapan kereta jenis Cadillac Fleetwood, iaitu kereta rasmi Tunku Abdul Rahman pada tahun 1965 dan gambar-gambar spontan isteri Tunku Abdul Rahman, Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah melayan tetamu di kediaman itu.

Koleksi baharu itu juga meliputi 25,000 helai dokumen berkaitan negara daripada simpanan National Archives of India, melibatkan sejarah campur tangan Inggeris di Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Kepulauan Borneo.

"Projek khas pendigitalan di koleksi ini dijalankan menerusi tiga fasa bermula pada 5 Oktober 2013 sehingga awal tahun ini," kata Azemi.

Selain itu, koleksi itu turut melibatkan 32 dokumen semasa pentadbiran British di Semenanjung Tanah Melayu, antaranya surat-surat bertulis tangan berusia 185 tahun antara Secretary to Government John Anderson dengan residen kaunselor Melaka, Samuel Garling Esquire.

"Manuskrip ini antaranya berkaitan urusan pejabat, permohonan laporan penyewaan premis pejabat, kekurangan bekalan alat tulis dan kelengkapan tentera, laporan penahanan kepada sheriff dan kelulusan bantuan untuk orang miskin dan bekalan selimut untuk pesalah," katanya.

Azemi menambah koleksi baharu itu juga meliputi dokumen-dokumen dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Kelantan, Terengganu, High Commissioner Office Malaya dan Federal Secretariat yang telah dikelaskan semula daripada terperingkat kepada terbuka yang berjumlah 1,055 rekod.

Ia antaranya meliputi maklumat pelantikan Raja Uda Raja Mohamed sebagai Anggota Majlis Negeri Selangor, rekod persetujuan Negeri-negeri Selat berhubung cadangan mengubah nama pasukan 'volunteer' udara 'Strait Settlement Air Force' (SSAF) kepada Malayan Volunteer Air Force (MNVAF).

Turut dimuatkan dalam koleksi itu ialah rekod berkaitan Public Services Salaries Commission yang dipengerusikan Sir Harry Trusted, yang ditubuhkan bagi mencadangkan skim gaji baharu kepada kakitangan di bawah pentadbiran kerajaan British. 


Artikel Lain