suria

Lelaki Thai Ditahan Cuba Seludup Keluar Daun Ketum

Daun ketum yang disembunyikan di dalam empat biji tong minyak berjaya dirampas. - foto G.C.TAN/THE STAR
BUKIT KAYU HITAM: Seorang lelaki warga Thailand ditahan ketika cuba menyeludup keluar daun ketum seberat 250kg bernilai RM7,500 ke negara jiran pada Jumaat.

Lelaki berusia 26 tahun itu sedang memandu kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton ketika ditahan anggota Batalion ke-18 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kastam (KIK) di sini pada 9.45 pagi.

Hasil pemeriksaan, anggota PGA menemui daun ketum yang disembunyikan di dalam empat biji tong minyak iaitu dua tong besar berwarna hitam dan dua tong kecil berwarna kelabu, yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan terbabit.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di Jitra untuk disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Rahim Abdullah berkata lelaki itu menyembunyikan daun ketum ke dalam tong berisi minyak kerana beranggapan pihak penguat kuasa di pintu sempadan tidak akan memeriksa bahan terbabit.

Katanya ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

seludup, daun ketum, Thailand

Artikel Lain