suria

TNB Diarah Potong Elektrik Premis Judi Haram

Idris Haron.
MELAKA: Kerajaan negeri mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik secara serta-merta ke atas mana-mana premis kafe siber haram sebaik sahaja aduan diterima mengenai kegiatan tersebut.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Idris Haron berkata, surat kuasa telah diserahkan kepada Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Baderul Sham Saad untuk memotong bekalan elektrik sebaik sahaja premis menjalankan kegiatan judi haram dikenal pasti.

Surat tersebut dikeluarkan berdasarkan undang-undang sedia ada dan dokumen yang sama akan diserahkan kepada syarikat utiliti lain di negeri ini.

Idris berkata beliau meminta pegawai-pegawai TNB untuk melaksanakan tugas mereka tanpa rasa takut kerana beliau bersedia mempertahankan tindakan tersebut sekiranya pemilik premis membawa kes tersebut ke mahkamah.

Ini adalah perang saya terhadap kafe siber haram dan sanggup bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang tindakan undang-undang.

Katanya, kewujudan premis seperti itu menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah manakala banyak keluarga mengalami masalah kewangan kerana pencari nafkah ketagih dengan kegiatan perjudian

Idris berkata kewujudan kafe siber juga menyumbang kepada gejala sosial dan ketagih kegiatan perjudian dikalangan remaja.

"Kami serius dalam menghapuskan kewujudan kafe siber haram di sini dan berusaha keras untuk memastikan Melaka sifar premis judi haram," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai TNB di pejabatnya di sini, Jumaat.

Idris berkata beliau juga sanggup mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai termasuk pembantunya dan pegawai kerajaan negeri sekiranya terdapat bukti mereka melindungi premis untuk mendapatkan pulangan kewangan.

"Saya tidak akan bertoleransi dengan sebarang cubaan oleh pegawai kerajaan negeri sekiranya cuba melindungi mana-mana premis dan memberi maklumat kepada pengusaha mengenai operasi serbuan," katanya.

Sementara itu, Baderul berkata TNB telah memotong lima premis di bandaraya bersejarah itu sebaik sahaja surat kebenaran dikeluarkan pada Jumaat.

"Ini hanyalah permulaan, kita akan menyertai serbuan untuk memotong bekalan elektrik di premis kafe siber haram dengan serta merta," katanya.


TNB, Melaka, kafe siber haram

Artikel Lain