suria

Pasukan Khas Bukit Aman Siasat Suspek Kes Culik

Jalaluddin Abdul Rahman.
KOTA KINABALU: Pasukan khas dari Bukit Aman sedang menyoal siasat suspek yang ditahan selepas seorang individu disyaki bersubahat dengan penculikan untuk wang tebusan (KFR) ditembak di Semporna pada 26 Oktober lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pasukan itu akan melakukan siasatan dengan lebih lanjut mengenai penglibatan mereka yang ditahan dan hubungan dengan kumpulan penculik terbabit.

Beliau berkata demikian selepas Wahab Atab @ Botak, lelaki berusia 34 tahun dari Kampung Balimbang Semporna menyerah diri kepada polis pada 27 Oktober lalu selepas dinamakan sebagai salah seorang daripada enam individu dikehendaki bagi membantu siasatan membabitkan jenayah rentas sempadan.

Awal bulan ini, polis menahan tiga individu yang dipercayai bersubahat dengan kumpulan penculikan itu manakala pada Sabtu polis menembak mati seorang lelaki yang disyaki menceroboh perairan Pulau Bangau-Bangau di Semporna dengan menaiki bot laju.

Ini berikutan penahanan seramai tujuh lelaki dan dua wanita di sekitar Semporna.

Sementara itu, polis Sabah mengadakan latihan menguji keupayaan dan kecekapan selama dua hari sejak Rabu di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZone).

Jalaluddin berkata latihan itu, yang dikenali sebagai Ops Gempar, dijalankan sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman di 10 daerah terlibat di pantai timur Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna and Tawau.

"Mungkin penduduk di sekitar ESSZone agak terkejut dengan kehadiran banyak kenderaan polis dan sekatan jalan raya. Itu hanya latihan," katanya.

Jalaluddin berkata latihan itu perlu bagi memastikan polis negeri sentiasa bersiapsedia dan cepat dalam menangani sebarang ancaman di ESSZone seperti kegiatan pencerobohan dan rompakan.



Artikel Sebelum

Artikel Lain