suria

Jangan Heret Negara Ke Dalam Masalah Anda, Kata Khairy Kepada Anwar

Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA: Perbicaraan kes liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kes perbicaraan terhadap individu dan bukannya negara, kerajaan dan sistem kehakiman, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Mungkin apa yang saya tulis ini perkara yang jelas, tetapi kalau kita dengar propaganda dari pihak Anwar, beliau cuba memberi gambaran bahawa perbicaraan ini adalah satu isu nasional dimana yang dihakimkan bukan beliau tetapi negara dan institusi kerajaan negara," katanya di laman sosial Facebook pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah memaksa Anwar untuk melakukan kesalahan yang didakwa terhadapnya. (meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.)

"Jadi teruskan rayuan anda tetapi jangan heret negara bersama anda," katanya.

Khairy berkata, Anwar seolah-olah yakin dalam sistem kehakiman apabila timbul kes saman malu dan memenangi beberapa kes tersebut.

"Ia sama sahaja, Anwar. Anda tidak boleh hanya menerima keputusan yang memihak kepada anda. Anda tidak boleh bersikap double standard dalam cara anda menerima keputusan dari mahkamah di negara ini," katanya.

Anwar pada Selasa menghadiri prosiding rayuan terakhir untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mengetuai barisan lima panel hakim yang akan mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwat keduanya, bermula Selasa.

Empat lagi hakim yang diberi mandat untuk mendengar rayuan kes ini adalah Tan Sri Md Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Selain itu, pasukan pendakwa pula diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria.

Ketua pembangkang itu pula akan diwakili bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang akan bertindak sebagai ketuai pasukan peguambela melibatkan 14 peguam.

Anwar, 67, didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sekiranya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuan ini, kelayakannya sebagai anggota parlimen boleh dilucutkan berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa kelayakan seseorang anggota parlimen boleh dibatalkan sekiranya beliau dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau denda lebih daripada RM2,000.

Artikel Berikut

Artikel Lain