suria

Tak Puas Hati Dipercayai Punca Kereta Pegawai Kastam Dibakar

Roslan melihat keadaan kereta miliknya yang dipercayai dibakar dengan 'molotov cocktail' oleh individu tidak dikenali ketika ditemui di Taman Bukit Indah di sini pada Selasa.
JITRA: Polis percaya kejadian membakar kereta milik seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di kediamannya di Taman Bukit Indah dekat sini, Rabu berpunca daripada perasaan tidak puas hati.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Abd Rahim Abdullah berkata, insiden dipercayai berlaku ekoran ada pihak tidak berpuas hati dengan cara pelaksanaan tugas pegawai berkenaan.

"Namun kes masih dalam siasatan dan keterangan daripada jiran mangsa juga telah diambil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini, Khamis.

Beliau berkata, pihaknya juga menolak laporan yang mengatakan kebakaran berpunca daripada 'molotov cocktail' walaupun botol plastik dan kesan minyak tanah dijumpai di lokasi kejadian.

"Kita masih menyiasat kes itu bagi mengesan pihak yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api dengan niat menyebabkan kerosakan," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi Rabu, kereta Perodua Kelisa milik pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Roslan Othman, 56, terbakar selepas dipercayai terkena 'molotov cocktail' yang dibaling dari luar rumah.

Mangsa berkata kejadian itu hanya disedarinya selepas dia menerima panggilan telefon daripada seorang jiran yang ternampak api sedang marak pada kereta di depan rumahnya.


kereta, bakar, kastam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain