suria

Biar ROS Buat Keputusan - Dr Subramaniam

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
JOHOR BAHRU: MIC menyerahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membuat keputusan sama ada parti perlu mengadakan pemilihan baharu berikutan dakwaan berlakunya penyelewengan pilihan raya parti pada November tahun lalu.

Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ROS kini sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Tambahnya, beberapa ahli parti yang tidak berpuas hati telah menghantar memorandum mengenai perkara itu kepadanya di satu tempat kira-kira pertengahan tahun lalu dan ia telah dikemukakan kepada presiden parti Datuk Seri G. Palanivel.

"Jika ROS menentukan bahawa tidak akan ada pemilihan semula, semua orang harus menerima keputusan itu.

"Jika ia memutuskan sebaliknya, maka kita akan melihat kembali perkara itu," katanya selepas melawat bazar Deepavali Johor Baru di sini, Ahad.

Komen Dr Subramaniam menyusul ekoran laporan bahawa sekumpulan ahli MIC telah berkumpul di bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Khamis untuk menyerahkan memorandum mengenai isu itu kepada pegawai di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri.

Memorandum itu mempersoalkan kelewatan ROS 'dalam menyelesaikan sesuatu dakwaan, termasuk kononnya terdapat perbezaan dalam bilangan perwakilan pada perhimpunan agung parti dan undi dalam pemilihan jawatan.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam menyambut baik peruntukan RM160 juta untuk masyarakat India dalam Bajet 2015. 

Peruntukan itu termasuk RM50 juta untuk pembangunan, penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara. 

Berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk peruntukan itu, Dr Subramaniam berkata kira-kira RM650 juta telah diberikan kepada 532 sekolah Tamil sejak enam tahun yang lalu.
ROS, pemilihan semula MIC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain