suria

Penyamun Disangka Polis, Lelaki Rugi Hampir RM2,000

GEORGE TOWN: Seorang pemandu limosin kerugian hampir RM2,000 selepas dirompak dua lelaki di Jalan Perak, di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian 6 pagi, lelaki berusia 51 tahun itu sedang menunggang motosikal menuju ke pusat bandar untuk ke tempat kerjanya sebelum ditahan suspek.
 
"Mangsa menyangka suspek adalah polis dan memberhentikan motosikalnya di bahu jalan. Melihat peluang itu, suspek terus mengacukan pisau ke arah pinggang mangsa dan merampas beg galas miliknya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata beg galas itu mengandungi dompet berisi wang tunai berjumlah RM600, telefon pintar dan beberapa dokumen penting.

Mior Faridalathrash berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak sempat melihat nombor plat motosikal yang digunakan suspek.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, membuat laporan di balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
penyamun, polis

Artikel Lain