suria

Mahkamah Batalkan Saman Adinda Sultan Kelantan Terhadap Polis

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat membatalkan saman dikemukakan adinda Sultan Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap polis dan kerajaan atas dakwaan menangkapnya secara salah, selepas putera itu dan peguamnya gagal hadir di mahkamah.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak polis dan kerajaan untuk membatalkan saman itu, dan memerintahkan Tengku Muhammad Fakhry membayar kos RM5,000 kepada semua defendan.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili defendan, memberitahu pemberita mereka meminta saman itu dibatalkan berikutan ketidakhadiran Tengku Muhammad Fakhry dan peguamnya yang baru dilantik apabila kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes.

"Mahkamah dan defendan-defendan mengesahkan tiada peguam bela baharu dalam rekod untuk mewakili Tengku Muhammad Fakhry. Mahkamah membatalkan saman itu dengan kebebasan untuk memfailkan saman baharu," kata Azizan.

Beliau berkata peguam Nizam Bashir, yang sebelum ini mewakili Tengku Muhammad Fakhry, telah menarik diri. Mahkamah pada 17 Sept, membenarkan permohonan peguam itu untuk menarik diri daripada mewakili putera itu.

Pada 3 Mei tahun lepas, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman itu terhadap Ketua Polis Negara pada ketika itu Tan Sri Musa Hassan, kerajaan dan 13 pegawai polis kerana mendakwa telah menangkapnya secara salah pada 4 Mei 2010 pukul 7.15 malam, ketika beliau berada dalam kereta di pintu pagar utama Istana Mahkota menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Baharu, Kelantan.

Beliau mendakwa beberapa defendan telah mengacukan senjata, menjerit-jerit dan mengarahkannya supaya menyerah diri, sebelum kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Baharu dan setibanya di sana beliau telah ditahan dalam sebuah bilik lebih kurang sejam.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa defendan telah memintanya menyerahkan senjata api tetapi beliau memaklumkan bahawa beliau tidak membawa senjata itu yang ditinggalkan dalam biliknya di Istana Mahkota.

Katanya beliau diiringi beberapa anggota polis pulang ke Istana Mahkota untuk mengambil senjata api itu dan selepas itu balik semula ke IPK dan dibenarkan pulang ke Istana Mahkota pukul 12 malam.

Plaintif mendakwa beliau tidak diberikan makanan dan tidak dibenarkan berhubung dengan peguamnya sepanjang ditahan di IPK itu.

Sehubungan itu, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau telah ditangkap secara salah dan kehilangan kebebasan dan kesemua defendan perlu bertanggungjawab terhadap penangkapannya itu.

Plaintif memohon ganti rugi am, khas, teladan, teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Kesemua defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 12 Julai, 2013 menegaskan hanya dua defendan sahaja berada di tepi plaintif dan mereka tidak pernah pada bila-bila masa mengacukan senjata api kepada plaintif.

Defendan-defendan juga berkata tangkapan itu sah di sisi undang-undang.


Kelantan, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Lain