suria

Mayat Warga Emas Lemas Ditemui

Anggota dari Unit Skuba melancarkan operasi mencari dan menyelamat warga emas, Mat Isa Din, 77, yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Macang Bubuk, Kejai Baling di Baling, Khamis. Foto BERNAMA

BALING: Mayat seorang warga emas dari Kampung Macang Bubuk di sini yang dilaporkan hilang sejak awal pagi tadi ditemui di Sungai Kejai pada Khamis.

Mayat mangsa, Mat Isa Din, 77, ditemui oleh anggota Unit Skuba lebih 200 meter dari tempat beg tembakau dan sebelah seliparnya ditemui di tepi tebing Sungai Kejai pada 4.20 petang.

Lokasi mayatnya ditemui hanya kira-kira 500 meter dari rumahnya. Anaknya, Mat Zuki Mat Isa, 45, berkata mereka sekeluarga menyedari mangsa tiada di dalam rumah kira-kira 1 pagi dan mencarinya sekitar rumah namun tidak ditemui.

Setelah menyedari warga emas berkenaan hilang dari rumah, keluarganya memberitahu jiran dan usaha mencarinya dilakukan sekitar kawasan kampung itu hingga ke pagi ini namun gagal ditemui.

Mat Zuki berkata, mereka membuat laporan di Balai Polis Pekan Malau di sini kira-kira 11 pagi setelah gagal mengesan mangsa.

Tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech Park dan dibantu lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Zon 3 Kedah serta lima anggota Unit Skuba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani menjalankan operasi mencari mangsa.

Mat Zuki berterima kasih pada semua pihak yang membantu terutama pihak Bomba dan Unit Skuba yang berjaya menemui mayat bapanya.

warga emas lemas, unit skuba

Artikel Berikut

Artikel Lain