suria

Isu MB Selangor: Cubaan Hanipa Nak Jadi Hero Gagal

Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR: Cubaan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin untuk menjadi 'hero' dengan memuji langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor akhirnya memakan diri.

Malah wakil rakyat PAS itu dimalukan apabila sidang Dewan Rakyat diberitahu bahawa parti sekutu pakatan pembangkang itu sendiri yang menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

"Cakap sahaja (angkat martabat wanita), tapi parti sendiri pun tak setuju, parti Yang Berhormat," kata Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 di sini, Rabu.

Terdahulu Hanipa ketika mencelah sesi perbahasan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang), memuji keberanian PKR mencalonkan seorang wanita untuk menduduki kerusi menteri besar.

Hanipa turut membandingkan kononnya Barisan Nasional (BN) gagal mengangkat kedudukan wanita diperingkat pembuat keputusan seperti yang dilakukan PKR.

"Lenggong (Shamsul Anuar) bangkitkan kononnya Presiden PKR tak diberi tempat. Saya nak tanya Ampang (Zuraida), pernahkah dalam sejarah Malaysia ada mana-mana parti yang sedia mencadangkan seorang wanita sebagai menteri besar.

"Soal terima atau tidak, itu isu lain. Yang penting ada keberanian untuk naikkan martabat wanita hingga ke tahap menteri besar," katanya.

Sebelum ini Pakatan Rakyat berhadapan krisis pelantikan menteri besar Selangor yang baharu apabila PAS tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri secara terbuka mengakui Dr Wan Azizah tidak mampu mentadbir kerajaan Selangor.

Tegas Presiden PAS itu, Dr Wan Azizah gagal membuktikan ketokohannya sebagai pemimpin termasuk tidak memiliki kebolehan untuk berhadapan dengan parti lawan.

Bagaimanapun menurut Abdul Hadi, tindakan PAS menolak pencalonan Dr Wan Azizah sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor bukan disebabkan faktor jantinanya.

Artikel Lain