suria

Polis Nafi Mangsa Insiden Letupan Hilangkan Diri

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUCHING: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Sabtu menafikan laporan bahawa seorang mangsa insiden letupan bom di Bukit Bintang, Kuala Lumpur melarikan diri. 

"Mangsa hilang? Tidak ada...semua 14 mangsa telah dikenalpasti," katanya. 

Beliau juga menegaskan hasil siasatan awal polis mendapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur-unsur pengganas. 

"Ini merupakan satu insiden balas dendam antara dua kumpulan haram jadi biarlah kita (polis) jalankan siasatan bagi mengenalpasti suspek yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival 1KDN di Perkarangan Tempat Letak Kereta Stadium Negeri Sarawak. 

Khalid berkata polis juga mempunyai maklumat mengenai kumpulan yang disyaki itu, sebelum kejadian letupan berlaku. 

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem. Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar. 

Ketika ditanya sama ada polis akan meningkatkan serta melakukan operasi besar-besar membanteras kumpulan kongsi gelap berikutan kejadian itu, Khalid berkata polis sememangnya sudah membanteras kumpulan haram menerusi Op Cantas Khas. 

"Memang ini langkah yang berjalan berterusan. Ops Cantas Khas yang kita jalankan terhadap kumpulan-kumpulan haram, kita akan ambil tindakan berterusan, insyaAllah akan jadi lebih besar," katanya. 

Pada Rabu, seorang joki kereta, Tiong Kwong Yie, 36, maut dan 12 yang lain cedera termasuk pelancong asing, dalam serangan bom tangan dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang. 

Sementara itu, Khalid berkata peruntukan sebanyak RM9.1 bilion dalam Bajet 2015 kepada polis akan membantu meningkatkan kecekapan anggotanya dalam melaksanakan tugasan. 

"Kita yakin dengan tambahan lebih 11,000 anggota dan 1,000 buah motosikal untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal akan dapat tingkatkan lagi kecekapan kita dalam menguruskan masalah jenayah. 

"Penambahan keanggotaan juga akan dapat menampung kekurangan di beberapa balai polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata, polis sedang memburu seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Ah Hai' bagi membantu siasatan kes serangan bom tangan itu. 

Tajuddin ketika dihubungi Bernama berkata lelaki berkenaan merupakan saksi penting malah sasaran utama yang terlibat dalam kes itu. 

"Kita percaya Ah Hai merupakan sasaran utama, siasatan awal mendapati, dia merupakan saksi penting dalam kes ini...polis berusaha untuk mengesan dia secepat mungkin," katanya. 

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan Ah Hai yang juga dikenali sebagai 'Top Imbi Gangster' dipercayai menjadi sasaran utama suspek dalam kes letupan itu.

Tajuddin berkata, pihaknya sebelum ini telah menyelesaikan satu kes lain berkaitan penglibatan Ah Hai dan telah menyerahkan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. 

 "Ah Hai pernah terlibat dalam satu kes di Sentul pada bulan Ogos..dakwaan mengatakan dia pernah mengacukan pistol kepada anggota polis," kata Tajuddin.

Beliau menjelaskan, setakat ini, seramai lapan mangsa telah diambil keterangan untuk membantu siasatan namun tiada sebarang tangkapan dilakukan. 



Artikel Lain