suria

Kerajaan Sasar Jangkitan HIV Turun Tahun Ini

KUANTAN: Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk mencapai penurunan kadar kes jangkitan wabak HIV kepada 11 peratus dalam kalangan 100,000 penduduk hujung tahun ini.

Jumlah itu kurang 0.4 peratus berbanding 11.4 peratus daripada 100,000 populasi pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, sasaran itu yakin dapat dicapai menerusi pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani penyebaran wabak berbahaya ini sejak kes jangkitan pertama pada 1986.

"Usaha ini merangkumi pengesanan kes, pencegahan jangkitan, rawatan dan sokongan sosial yang dijalankan oleh kementerian.

"Selain itu kita juga turut terlibat dalam Deklarasi Komitmen Asean 2011 dan 'Cities Getting to Zero Project' iaitu usaha bagi memastikan mereka yang dijangkiti HIV mendapat rawatan Antiretroviral (ARV) dengan sempurna, sokongan dan kaunseling yang akhirnya akan mengurangkan kematian akibat AIDS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan AIDS peringkat Kebangsaan kali ketiga di sini, Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit dan Ketua Sektor HIV/STI KKM, Dr Shaari Ngadiman dan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Norhizan Ismail.

Dr Hilmi berkata sejajar dengan komitmen kerajaan dalam memastikan jangkitan HIV terus menurun dalam kalangan rakyat negara ini menerusi Deklarasi Asean dan projek sifar itu, beliau menggesa agar masyarakat dapat mengubah stigma negatif dan diskriminasi mengenai pesakit yang dijangkiti HIV atau AIDS.

"Kita harus tahu pesakit yang dijangkiti AIDS kini mempunyai harapan untuk sembuh dengan penemuan rawatan ARV namun mereka tetap berdepan persepsi negatif dan diskriminasi masyarakat umum.

"Sehubungan itu stigma ini perlu terus diubah agar pesakit HIV terus mendapat sokongan daripada anggota masyarakat untuk terus berjuang melawan penyakit mereka sekali gus sembuh daripada jangkitan wabak maut berkenaan," katanya.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain