suria

Program Haji 1MDB Taja Bilal Tahun Depan

Jemaah haji kelihatan ceria sejurus tiba daripada mengerjakan haji bersama 255 orang jemaah haji dari Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang terdiri daripada Imam, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi Sabtu.
SEPANG: Mulai tahun depan, Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan menaja bilal masjid untuk mengerjakan haji dan umrah untuk bekas imam dan bekas pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Pengerusi program khas berkenaan, Datuk Jailani Ngah berkata, program itu diperluaskan kepada bilal kerana sejak diperkenalkan pada 2011 sehingga kini hampir tidak ada lagi imam untuk dihantar menunaikan haji.

"Jemaah umrah dalam kalangan bekas imam dan bekas pengerusi JKKK dijangka berlepas ke tanah suci pada Mac depan. Mereka merupakan golongan yang tidak sempat menunaikan ibadah haji semasa berkhidmat.

"Oleh itu jawatankuasa program ini memutuskan untuk menghantar bekas imam dan bekas pengerusi JKKK mengerjakan umrah bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci," katanya.

Jailani berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menyambut ketibaan 255 kumpulan pertama jemaah haji tajaan 1MDB di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, Sabtu.

Jemaah berkenaan tiba di KLIA pada 4.05 pagi ini.

Jumlah keseluruhan jemaah haji yang ditaja program berkenaan bagi musim haji kali ini ialah 1,000 orang. Daripada jumlah itu lima merupakan Tok Batin masyarakat Orang Asli.

"Pada 2011 program ini bermula dengan menaja 111 imam dan pengerusi JKKK, diikuti 400 pada 2012, 800 (2013) dan 1,000 (2014). Jumlah jemaah haji yang ditaja akan ditambah pada tahun depan mungkin kepada 1,100 atau 1,200. Syarat penting untuk terpilih ialah tidak pernah menjejakkan kaki ke tanah suci," kata Jailani.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Meranti, Pekan, Pahang Abdul Rani Abdullah, 54, yang berpeluang menunaikan ibadah haji bersama anak sulungnya Awing Abdul Rani, 35, yang merupakan setiausaha JKKK kampungnya melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas tajaan berkenaan.

"Saya akan gunakan pengalaman menunaikan haji dalam ceramah saya selepas ini untuk berdakwah kepada penduduk kampung. Daripada 300 jumlah keseluruhan penduduk kampung saya, separuh daripada mereka beragama Islam," jelasnya sambil menambah giliran beliau menunaikan haji berdasarkan pendaftaran di Tabung Haji pada 2069.

Pengerusi JKKK Kampung Binjai, Limbang, Sarawak, Bini Tamdin, 51, berkata, beliau sangat bersyukur dan sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri apabila terpilih untuk mengerjakan haji pada musim ini.

"Ketika berada di tanah suci saya tidak lupa untuk mendoakan kesejahteraan, kemakmuran, keselamatan dan keamanan negara selain mendoakan Perdana Menteri dapat terus membawa kejayaan kepada Malaysia," katanya.



1MDB, haji, bilal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain