suria

ROS Nafi Lulus Tiga Pertubuhan Agama

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menafikan dakwaan bahawa pihaknya meluluskan pendaftaran tiga persatuan berkaitan agama seperti yang disebarkan di media sosial baru-baru ini.

Tiga persatuan terbabit adalah Persatuan Melayu Murtad, Majlis Forum Antarabangsa (IFC) dan Persatuan Melayu Kristian.

Ketua Pengarah ROS, Mohammad Razin Abdullah berkata, pihaknya mula mengesan mengenai penyebaran berita itu sejak awal 2007.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan pihaknya mendapati ia kembali digembar-gemburkan di media sosial sejak kebelakangan ini.

"ROS ingin menafikan dakwaan meluluskan pendaftaran ketiga-tiga pertubuhan tersebut.

"Sehubungan itu, ROS meminta semua lapisan masyarakat tidak terpengaruh atau terpedaya dengan penyebaran berita palsu itu dan meminta pihak terbabit supaya tidak menyebarkan berita tersebut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Sejak beberapa hari lalu, media sosial sekali lagi kecoh dengan penyebaran berita yang mendakwa Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian diluluskan sebagai pertubuhan yang sah di negara ini.

Ramai yang terganggu dengan berita tersebut mengajak pengguna internet dan laman sosial membantah penubuhan tiga pertubuhan tersebut yang bertentangan dengan ajaran Islam. 


ROS, IFC, agama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain