suria

Najib Tinjau Persediaan Bajet 2015

Najib memasukkan buku Rahsia Besar ke dalam beg di bilik operasi bajet ketika meninjau persiapan akhir Bajet 2015 di Kementerian Kewangan, Putrajaya malam Khamis. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa meninjau operasi persiapan terakhir pembentangan Bajet 2015 di Kementerian Kewangan di sini malam Khamis.

Ketibaan beliau yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan bangunan Kementerian Kewangan disambut pegawai dan petugas kementerian yang terlibat dalam penyediaan belanjawan itu.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, kemudiannya dibawa meninjau bilik operasi bajet.

Turut serta dalam tinjauan perdana menteri ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib dijadual membentang Bajet 2015 di Dewan Rakyat petang Jumaat, pembentangan beliau yang ketujuh sebagai Menteri Kewangan.

Bajet 2015 dilihat penting memandangkan ia merupakan belanjawan akhir Rancangan Malaysia Ke-10, yang menyediakan peruntukan bagi program dan projek berbaki dalam tempoh rancangan pembangunan terbabit.

Terdahulu dalam entri facebooknya Najib berkata penyediaan Bajet 2015 adalah sebuah proses panjang melibatkan banyak kumpulan berkepentingan termasuk rakyat Malaysia yang menyumbang idea dan pendapat melalui 1Malaysia.com.my dan laman twitter.


Najib Tun Razak, Bajet 2015

Artikel Lain