suria

JPP Tak Langgar Perlembagaan, Tak Bertindih Fungsi Majlis PBT

Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR: Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) oleh kerajaan persekutuan di peringkat bandar tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan tiada pertindihan dengan tugas ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.


Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, terdapat perbezaan fungsi antara JPP dan ahli majlis PBT terutama dari segi bidang penguatkuasaan undang-undang.

"Tiada isu JPP mahu mengambil alih tugas ahli majlis PBT kerana JPP tiada sebarang kuasa untuk melakukan sebarang dakwaan atau mengenakan bayaran atau fi seperti PBT.

"Sebaliknya JPP ditubuhkan untuk membantu PBT yang kita fikir mungkin tidak mampu menangani isu-isu lain penduduk di kawasan bandar yang pastinya bukan hak mutlak kerajaan tempatan sahaja," katanya ketika menjawab soalan tambahan Su Keong Siong (DAP-Ipoh Timur) di sini, Rabu.

Keong Siong mahu tahu sama ada pelantikan JPP melanggar Perlembagaan Persekutuan dan cubaan untuk mengambil alih fungsi ahli majlis PBT.

Kepada soalan asal Ahli Parlimen Ipoh Timur yang ingin tahu keperluan kerajaan persekutuan menubuhkan JPP dengan peruntukan sebanyak RM63 juta setahun serta kriteria yang diguna pakai untuk melantik anggota JPP, Abdul Rahman berkata: "JPP adalah satu mekanisme kerajaan persekutuan bagi penduduk bandar menyalurkan aduan dan pandangan kepada pihak berkuasa.

"Ia amat diperlukan susulan proses pemesatan bandar kerana sehingga kini 70 peratus penduduk di negara ini tinggal di kawasan bandar".

Sementara itu, katanya, kriteria yang diguna pakai untuk melantik anggota JPP ialah antaranya penduduk yang bermastautin di kawasan berkenaan, berusia antara 21 dan 65 tahun serta kelayakan akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta bukan dalam kalangan ahli majlis yang sedang berkhidmat.

Untuk penyelarasan JPP di setiap PBT, kerajaan katanya, meluluskan 184 perjawatan Unit Kesejahteraan Bandar yang terdiri daripada Gred M44, N32, N27 dan N17 yang akan ditempatkan di PBT terpilih sebagai sekretariat JPP di peringkat negeri.


JPP, PBT, Datuk Abdul Rahman Dahlan

Artikel Sebelum

Artikel Lain