suria

Pengedar Dadah Maut Diserang Sekumpulan Lelaki

Gambar hiasan

KEPALA BATAS: Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas diserang sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di kawasan ladang sawit di Pokok Machang, Tasek Gelugor di sini pada Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata mangsa K. Arichandran, 34, mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas ditetak kumpulan lelaki terbabit yang menyerangnya.

"Polis menerima panggilan pada pukul 12.50 tengah malam oleh seorang lelaki warga Myanmar yang memaklumkan rakannya mati selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian pukul 10 malam.

"Pemeriksaan di tempat kejadian iaitu kawasan ladang sawit itu mendapati mangsa mengalami cedera parah dengan kesan tetakan di kepala, tangan kiri hampir putus akibat tetakan serta beberapa kecederaan lain di badannya," katanya.

Katanya menurut rakan lelaki yang turut dikenali sebagai Janggu atau Raja itu, mangsa yang menaiki motosikal dipercayai dalam perjalanan ke rumah rakannya sebelum didatangi sekumpulan lelaki sebelum dia dipukul serta ditetak mereka hingga mati.

Abdul Rahman berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku akibat dendam berikutan mangsa gagal membayar hutang dengan beberapa kumpulan pengedar dadah.

"Siasatan kami mendapati mangsa yang mempunyai dua rekod berkaitan dadah dan pernah ditahan menurut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) itu adalah 'tokan' atau pengedar dadah di kawasan Pokok Machang kepada warga Myanmar di situ," katanya.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

Beliau berkata setakat ini polis telah menahan seorang lelaki berumur 30 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan dan usaha mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Pengedar Dadah

Artikel Berikut

Artikel Lain