suria

Enam Dipercayai Sekeluarga Maut Dalam Kemalangan Di Rompin

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan enam maut dipercayai sekeluarga selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas melibatkan sebuah bas ekspres Maraliner dan sebuah kereta Perodua Myvi.

KUANTAN: Enam sekeluarga yang dalam perjalanan pulang menyambut Hari Raya Aidiladha maut setelah Perodua Alza yang dinaiki di percayai terbabas lalu merempuh sebuah bas dari arah bertentangan dalam kemalangan diKilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat dekat Rompin Sabtu malam. 

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu turut melibatkan sebuah kenderaan lain jenis Perodua Myvi.

Katanya setakat ini tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Azhar Mat Ali, 43, Zaliha Johar, 42, masing-masing dari Kampung Parit Pasir Lama, Pekan Nenas, Johor dan Siti Habibah Kasbon, 43, dari Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi, Johor.

Tiga lagi mangsa belum dapat dikenal pasti, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan dari arah Segamat menuju ke arah Kuantan itu hilang kawalan.

"Kenderaan itu kemudiannya masuk ke arah bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah bas yang tiada penumpang dari arah bertentangan," katanya.

Menurutnya, pada masa sama sebuah Perodua Myvi yang berada di belakang Perodua Alza itu tidak sempat mengelak dan turut terbabas di tepi longkang ditepi jalan berkenaan. 

"Pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. 

kemalangan, Rompin

Artikel Lain