suria

Pelajar Tahun Enam SK Ansip Koma Terjatuh Dari Siling Sekolah

Di Sekolah Kebangsaan Ansip, Keningau inilah lokasi di mana pelajar tahun enam jatuh dari siling luar bilik darjah hingga menyebabkan dia koma.
KOTA KINABALU: Seorang murid Tahun 6 koma, selepas dipercayai terjatuh dari siling bahagian luar sebuah bilik darjah di tingkat dua salah satu blok bangunan Sekolah Kebangsaan Ansip, Keningau kira-kira 131 km dari sini pagi Khamis. 

Sebelum kejadian kira-kira pukul 9.10 pagi itu, pelajar lelaki yang dikenali sebagai Dylause Dionel dikatakan telah meminta kebenaran daripada guru kelasnya untuk pergi ke tandas.

Bagaimanapun, selepas mendapati murid berkenaan lambat masuk semula ke kelas, guru kelasnya keluar untuk mencarinya dan mendapati murid itu terjatuh di lantai tingkat bawah bangunan serta mengalami kecederaan.

Dengan bantuan guru-guru lain, mangsa segera dihantar ke Hospital Keningau dan pihak sekolah serta merta memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa Dylause.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata pihak Guru Besar sekolah berkenaan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau.

Katanya pihak polis Keningau juga sudah mengambil keterangan daripada tujuh rakan mangsa untuk membantu siasatan.
 
"Pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Sabah masih menunggu laporan lengkap dari pihak polis dan hospital," katanya dalam kenyataan di sini.

Jame juga mahu pentadbiran sekolah agar sentiasa mengingatkan pelajar mereka untuk sentiasa menjaga dan mengutamakan keselamatan sama ada berada di dalam atau di luar kawasan sekolah. 

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, ASP Merbin Lisa ketika dihubungi Bernama berkata pelajar berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Keningau dan belum sedarkan diri.
 
"Kita masih menjalankan siasatan berhubung kes ini dan siasatan akan dilaksanakan dari semua sudut," katanya.

Artikel Lain