suria

Jemaah Haji Malaysia Berwukuf Di Arafah Jumaat Ini - Jamil Khir

MAKKAH: Kesemua 22,320 jemaah haji Malaysia akan berwukuf di Arafah, Jumaat ini, yang merupakan kemuncak ibadah haji, walaupun ada yang terpaksa dibawa dengan ambulans.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, setakat ini keadaan kesihatan jemaah haji amat menggalakkan dengan hanya empat orang yang masih berada di Hospital Arab Saudi berbanding lapan orang dua hari lepas.

Malah jumlah jemaah haji yang menerima rawatan di klinik dan hospital Tabung Haji pada musim haji kali ini amat berkurangan berbanding musim haji sebelum ini, katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan di Rehab Al Janadiriyyah atau maktab 91 di sini Isnin.

Beliau, yang diiringi Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengawai Eksekutif dan Pengarah Urusan TH, Tan Sri Ismee Ismail turut menunaikan solat Zuhur bersama jemaah haji di maktab itu selain melawat pusat kewangan dan klinik Tabung Haji di maktab tersebut.

Jamil Khir juga turut beramah mesra dengan jemaah haji serta dengan pasukan sahabat Tabung Haji yang merupakan pasukan sukarelawan yang terdiri daripada jemaah haji yang turut membantu petugas TH dalam memberi bantuan kepada jemaah haji.

Jamil Khir berkata, TH akan memastikan kesemua jemaah haji dapat berada di Arafah kerana ia merupakan Rukun Haji yang utama dan,"Haji itu adalah wukuf di Arafah.”

Wukuf di Arafah yang bermaksud berhenti dan berada di bumi Arafah sebentar atau seketika, sekalipun satu saat dalam apa juga keadaan, bermula daripada gelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke-9 Zulhijah sehingga seketika sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh/waktu Arab Saudi) pada hari ke-10 Zulhijah.

Beliau juga berkata, TH turut mengadakan khemah perubatan bagi merawat jemaah haji yang sakit bagi memastikan mereka dapat turut berwukuf.

Selain itu, persiapan operasi Masyair (di Arafah, Muzdalifah dan Mina) telah siap sepenuhnya bagi menerima kedatangan jemaah haji Malaysia yang akan mula bergerak secara berperingkat mulai 11 pagi Khamis ini, katanya.

Beliau berkata, TH juga akan turut menjalankan korban kambing dan unta yang diterima oleh TH daripada jemaah haji Malaysia untuk dikorbankan di Mina sempena Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada hari Sabtu di Arab Saudi.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kewangan TH, Anisuati Yahaya berkata, pihaknya telah menerima bayaran untuk menguruskan korban bagi lebih 13,300 ekor kambing dan 130 ekor unta sehingga tarikh tutup permohonan untuk mengadakan korban pada Ahad lepas.

Jamil Khir, Wukuf, Jemaah Haji

Artikel Lain