suria

MH17: Malaysia Mahu Penglibatan Pasukan Pengaman PBB

BENTONG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia akan meminta Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman bagi membolehkan pasukan penyiasat dapat memasuki lokasi nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dengan segera.

Katanya kehadiran pasukan pengaman PBB di lokasi nahas boleh memastikan pihak berkuasa Ukraine dan kumpulan pemisah yang sedang bertelagah di kawasan itu mengotakan janji termasuk gencatan senjata yang dipersetujui mereka sebelum ini.

"Pasukan penyiasat antarabangsa termasuk Malaysia masih gagal memasuki kawasan nahas MH17 di timur Ukraine berikutan keadaan masih tidak selamat.

Liow Tiong Lai

"Kita akan meminta PBB segera bertindak supaya siasatan kes itu dapat dilaksanakan, kita kesal sikap kerajaan Ukraine yang masih belum dapat menunaikan janji untuk pasukan penyiasat memasuki kawasan itu dengan selamat walaupun pelbagai usaha dan rundingan sudah dilakukan termasuk oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Bentong Bestari di Taman Rekreasi Sungai Marong, di sini, Sabtu.

Menurut Liow, tragedi pesawat MH17 adalah isu dunia membabitkan banyak negara dan semua pihak sepatutnya memandang serius perkara itu.

"Perdana Menteri sudah berusaha bersungguh-sungguh termasuk bertemu dan berbincang dengan pelbagai pemimpin dunia dan menyuarakan perkara ini di PBB.

"Kini sudah tiba masanya PBB mengambil tindakan, bukan setakat menerusi perbincangan sahaja," katanya.

Mengenai dua lagi mangsa rakyat Malaysia dalam nahas itu yang belum dikenal pasti iaitu Siti Amirah Prawira Kusuma, 83, dan Sherliza Zaini, 45, Liow berkata usaha menganalisis dan pengecaman mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum di Belanda masih belum selesai.

Sehubungan itu, beliau berharap dua rakyat Malaysia itu dapat dikenal pasti selepas semua urusan pengecaman mayat selesai nanti.

Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
MH17, PBB, Liow Tiong Lai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain