suria

Najib Promosi Malaysia Kepada Pengurus Dana Amerika, Ketua Perniagaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukan risalah mengenai kedudukan ekonomi negara ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengadakan Sesi Meja Bulat bersama Pelabur Perniagaan di New York pada Khamis. -foto BERNAMA.
NEW YORK: Tanpa membaca teks ucapan yang disediakan, Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak sebagai jurujual nombor satu Malaysia apabila mempromosi negara kepada pengurus dana, pelabur dan pemimpin perniagaan, di sini pada Khamis.

Perdana Menteri menghadiri pelbagai mesyuarat secara berterusan selain perbincangan semasa makan tengah hari bersama mereka.

Beliau menemui 15 pengurus dana yang mengurus kira-kira US$8 trilion (RM25.6 trilion) dana di seluruh dunia, diikuti pertemuan bersama pelabur dan pemimpin perniagaan.

Dalam usaha menarik mereka untuk menanam modal dan menjalankan perniagaan di Malaysia, Najib mengetengahkan kestabilan politik dan ekonomi yang kukuh sebagai tarikan utama.

Beliau memperkukuh kenyataannya dengan menyebut mengenai kedudukan Malaysia di tempat keenam di dunia dari segi mudahnya menjalankan perniagaan oleh Bank Dunia, tempat ke-20 dalam senarai daya saing dunia oleh Forum Ekonomi Dunia dan di tangga ketiga terbaik dalam pasaran pesat membangun oleh Bloomberg.

"Ini menunjukkan tadbir urus dan sistem penyampaian negara yang baik," kata Najib dan menambah, Malaysia merupakan negara mesra perniagaan.

Pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.6 peratus tahun lepas dan 6.3 peratus bagi separuh pertama tahun ini merupakan bukti jelas kedudukan ekonomi negara.

Najib turut berkongsi peluang-peluang peniagaan yang terbentang luas di Malaysia, terutama dalam bidang inovasi dan teknologi, selari dengan usaha negara untuk merealisasikan negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Mereka juga wajar melihat Malaysia sebagai gerbang ke pasaran Asean yang dihuni 600 juta penduduk.

Perdana Menteri juga berkongsi usaha negara dalam menangani defisit fiskal semasa ke arah fiskal mampan selain perbelanjaan berhemat negara dengan berbelanja mengikut kemampuan.

Beliau turut menjelaskan tindakan kerajaan yang terpaksa membuat keputusan yang sukar seperti rasionalisasi subsidi dan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tahun depan, kedua-duanya untuk manfaat rakyat dan negara dalam jangka panjang.

"Kami tidak mahu menjadi kerajaan yang popular tetapi membuat keputusan yang salah," katanya.

Najib berkata ada kalanya kerajaan perlu membuat keputusan yang sukar demi rakyat dan negara untuk manfaat jangka panjang.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan pengurus dana, Najib berkata mereka sukakan 'kisah' Malaysia.

"Saya rasa mereka mahukan komitmen khusus dari pihak kita, sama ada kita mempunyai semangat politik untuk meneruskan pembaharuan dalam memastikan kemampanan fiskal serta meneruskan program seperti GTP dan ETP semasa kita beralih kepada ekonomi berpendaatan tinggi.

"Saya menjangkakan mereka sedang menguji tahap semangat politik membabitkan janji-janji yang kita buat. Saya rasa mereka mengetahui dasar kita, namun mahu menguji tahapnya. 
 
"Mereka mahu melihat sama ada saya mempunyai semangat politik untuk melaksanakannya. Itulah yang saya nampak," kata Najib.

Perdana Menteri berada di sini sejak 20 hingga 28 September untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu selain tugasan lain bersama komuniti perniagaan dan diaspora Malaysia.


Najib Razak, pelaburan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain